Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 87,000 terima vaksin, tiada kes baharu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal seramai 261 orang apabila tiada kes jangkitan baharu dicatatkan setakat 12 tengah hari ini.

    Sementara itu, dua kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada lapan kes dengan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Kementerian turut mengongsikan bahawa seramai 696 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 20,964 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020. Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 588 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 141,745 ujian.

    Dalam pada itu, seramai 87,409 orang telah menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

    Daripada jumlah itu, seramai 15,109 orang telah melengkapkan dua dos manakala seramai 72,300 adalah mereka yang baharu menerima dos pertama setakat pukul 5 petang semalam.

    Sementara itu, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 46,255 bagi dos pertama dan 11,679 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 10,647 bagi dos pertama dan 1,128 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 10,105 bagi dos pertama dan 1,693 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 5,293 bagi dos pertama dan 609 bagi dos kedua.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda