Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 90% penduduk Brunei mempunyai akses kepada internet

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Negara Brunei Darussalam menunjukkan perkembangan yang baik dalam Indeks Pembangunan ICT (IDI) 2023 menerusi laporan IDI edisi 2023 diterbitkan oleh International Telecommunication Union (ITU), yang menilai 169 ekonomi mengikut tahap akses dan kesalinghubungan digital berasaskan kepada prinsip ketersambungan bermakna serta sejagat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), di sini, laporan IDI 2023 telah melaporkan bahawa secara purata, 70 peratus individu dan kediaman di serata dunia dapat mengakses Internet, manakala itu, kira-kira 82.9 peratus penduduk global dianggarkan mempunyai akses kepada perkhidmatan rangkaian mudah alih 4G/LTE.

    Di bawah laporan berkenaan, Negara Brunei Darussalam mendapat markah 94.8, iaitu markah kedua tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN di mana ia disokong oleh tahap yang tinggi bagi individu dan kediaman di Brunei yang mempunyai akses kepada Internet iaitu lebih 90 peratus dan lebih 96 peratus penduduk yang mempunyai akses kepada rangkaian mudah alih 4G/LTE.

    Pembangunan infrastruktur telekomunikasi serta pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan telekomunikasi yang luas dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menyumbang kepada prestasi berkenaan.

    Ia mencerminkan usaha berterusan negara untuk mengembangkan sektor ICT negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta merealisasikan aspirasi Brunei untuk menjadi sebuah negara pintar.

    Perkhidmatan rangkaian mudah alih 5G telah dilancarkan pada 22 Jun lalu dan kelajuan jalur lebar tetap telah dipertingkatkan pada 1 September lalu.

    Laporan IDI telah mula diterbitkan pada 2009 sebagai satu kaedah untuk memantau pembangunan sektor ICT di serata dunia dan bagi terus berubah mengikut trend digital global.

    Laporan pada masa ini, menggunakan metodologi IDI yang baharu dan tidak termasuk sebuah sistem ranking prestasi ekonomi-ekonomi.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda