Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 900 lagi pekerja awam dibuang kerja

    ANKARA, 25 Ogos – Turki telah memecat lebih daripada 900 pegawai sektor awam dalam gelombang terbaru pembersihan sebagai susulan rampasan kuasa yang gagal tahun lepas, menurut satu dekri kecemasan yang diterbitkan dalam gazet rasmi hari ini.

    Lebih daripada 140,000 orang telah dipecat atau digantung dari kerja mereka sejak Julai 2016 atas dakwaan berkait dengan Fethullah Gullen yang dituduh mengarahkan cubaan rampasan kuasa itu. Gullen bagaimanapun menafikan dakwaan-dakwaan itu.

    Lebih daripada 50,000 orang termasuk wartawan telah ditahan di bawah perintah darurat yang dikenakan tahun lepas dalam tindakan keras yang telah menyebabkan kebimbangan antarabangsa.

    Sejumlah 928 orang telah dibuang kerja dalam dekri terbaru ini, termasuk penjawat awam yang bekerja di kementerian pertahanan, luar dan dalam dan juga kakitangan tentera.

    Pihak berkuasa Turki juga melucutkan 10 brigedier jeneral bersara dari pangkat mereka, menurut dekri itu. Namun menurut dekri itu, 57 kakitangan awam dan anggota tentera kembali ke jawatan mereka termasuk 28 pegawai dari kementerian keadilan dan institusi-institusi berkaitan.

    Kerajaan Turki telah memecat lebih daripada 900 pekerja sektor awam yang didakwa berkait dengan cubaan rampasan kuasa yang gagal tahun lepas. – AFP

    Enam pertubuhan termasuk tiga pejabat media di kawasan tenggara ditutup termasuk Dicle Media News Agency yang berpusat di Diyarbakir.

    Puluhan pejabat media termasuk akhbar-akhbar dan penyiar-penyiar telah ditutup sejak Julai.

    Dekri kedua mengikat Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki (MIT) kepada presiden, sebelum itu dikaitkan dengan perdana menteri, sementara presiden akan memimpin satu badan digelar Lembaga Penyelarasan Perisikan Kebangsaan (MIKK).

    Kebenaran daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan diperlukan bagi ketua MIT untuk disiasat, menurut dekri itu.

    Presiden juga perlu untuk meluluskan sebarang permintaan dibuat bagi ketua MIT, yang kini disandang oleh Hakan Fidan, untuk bertindak sebagai saksi dalam mahkamah.

    Langkah itu nampaknya akan menjadi sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang diluluskan dalam pungutan suara April dalam meluaskan kuasa Erdogan untuk mencipta satu eksekutif dalam jawatan presiden. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda