Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Lebih 9,000 keluarga setuju pindah dari Taman Arkeologi Angkor

    SIEM REAP, 21 OKT – Sekurang-kurangnya 9,065 keluarga yang menetap haram di Taman Arkeologi Angkor seluas 401 km persegi telah menawarkan diri untuk ditempatkan semula di kawasan baharu yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen, hari ini.

    Kawasan penempatan semula terletak di perkampungan eko Run Ta Ek di daerah Banteay Srei dan kawasan Pak Sneng di daerah Angkor Thom, di luar taman Angkor, lapor Xinhua.

    Bercakap semasa lawatan kali ketiga ke isi rumah yang dipindahkan, Hun Sen berkata pemindahan penduduk itu bertujuan mengekalkan keindahan taman Angkor, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia sejak 1992.

    “Semasa kami mencalonkan Angkor sebagai tapak warisan dunia, kami menerima semua terma dan syarat yang dikehendaki oleh UNESCO, oleh itu kami perlu mematuhi terma dan syarat itu, atau Angkor akan dikeluarkan daripada senarai warisan dunia,” katanya.

    Setiap keluarga yang dipindahkan menerima sebidang tanah berukuran 20 meter lebar dan 30 meter panjang, dan kad pengenalan kemiskinan, yang membolehkan mereka mengakses bantuan tunai bulanan dan penjagaan kesihatan percuma selama 10 tahun.

    Kerajaan Kemboja mula memindahkan setinggan keluar dari Angkor selepas UNESCO memberi amaran bahawa tapak purba itu boleh ditarik balik daripada Senarai Warisan Dunia memandangkan terlalu banyak binaan haram di situ yang bertentangan dengan terma dan syarat yang ditetapkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...