WASHINGTON, 16 JULAI – Pegawai penguat kuasa dadah Amerika Syarikat (AS) telah merampas lebih AS$10 juta dalam bentuk mata wang kripto yang dikaitkan dengan kartel dadah Sinaloa dari Mexico dalam beberapa siri serbuan yang turut menemui sejumlah besar fentanyl dan dadah lain, menurut pegawai kelmarin.
Kartel Sinaloa merupakan salah satu daripada enam kumpulan pengedaran dadah Mexico yang telah diisytiharkan sebagai organisasi ‘pengganas global’ oleh Presiden Donald Trump.
Rampasan kripto di Miami, Florida itu merupakan sebahagian daripada operasi seluruh negara yang menyaksikan penyitaan 44 juta pil fentanyl, 2,000 kilogram (kg) serbuk fentanyl dan hampir 30,000kg methamphetamine sejak Januari lalu, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.
Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA), dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI), ‘telah merampas lebih AS$10 juta dalam bentuk mata wang kripto yang dikaitkan secara langsung dengan kartel Sinaloa,’ kata kenyataan itu.
Rampasan itu berlaku beberapa hari selepas Ovidio Guzman Lopez, anak kepada ketua kartel dadah terkenal Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, mengaku bersalah atas pertuduhan dadah di Chicago dalam perjanjian dengan pendakwa raya sebagai tukaran kepada pengurangan hukuman.
Bapanya, El Chapo, telah disabitkan kesalahan dalam perbicaraan berprofil tinggi pada 2019 dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Rampasan kripto itu merupakan antara beberapa rampasan utama dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini di seluruh negara, termasuk di California, Texas, Georgia dan beberapa negeri lain yang menyaksikan ribuan kilogram dadah dan puluhan suspek ditahan.
Di Galveston, Texas, pegawai menemui lebih 770kg methamphetamine bernilai lebih AS$15 juta tersembunyi dalam sebuah kenderaan.
Serbuan lain pula menemui dadah disembunyikan dalam penghantaran hasil tani, termasuk 320kg methamphetamine yang disorok dalam timun di Georgia dan 355kg lagi ditemui dalam trak sejuk beku yang membawa buah beri biru di Texas. – AFP
