Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih AS$53 bilion diperlukan untuk bina semula Gaza

    BANGSA-BANGSA BERSATU, 12 FEB – Lebih daripada AS$53 bilion akan diperlukan untuk membina semula Gaza dan menamatkan bencana kemanusiaan yang telah menjejaskan wilayah yang dilanda perang itu, termasuk AS$20 bilion dalam tiga tahun pertama sahaja, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

    Badan global itu berkata dalam laporan bahawa rangka kerja politik dan keselamatan juga mesti disediakan supaya pemulihan dan pembinaan semula dapat dimulakan, dan asas boleh diletakkan untuk proses politik bagi menamatkan pendudukan Israel dengan cepat termasuk mewujudkan penyelesaian dua negara yang berdaya maju.

    “Penilaian sementara itu menawarkan petunjuk awal skala besar keperluan pemulihan dan pembinaan semula di Semenanjung Gaza,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam laporan itu, sambil memberi amaran bahawa ia bukan penilaian penuh.

    “Laporan itu menganggarkan keperluan pemulihan dan pembinaan semula dalam jangka pendek, sederhana dan panjang di seluruh Semenanjung Gaza pada AS$53.142 bilion. Daripada jumlah ini, keperluan jangka pendek dalam tiga tahun pertama dianggarkan sekitar AS$20.568 bilion,” tambahnya.

    Dalam resolusi yang diterima pakai Disember lalu menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza, Perhimpunan Agung PBB telah meminta Guterres untuk memberikan penilaian tentang keperluan wilayah itu dalam tempoh dua bulan.

    Laporan itu menilai bahawa dengan lebih 60 peratus rumah musnah dalam perang tambah setahun antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, yang mana sektor perumahan memerlukan sekitar AS$15.2 bilion.

    Manakala sektor perdagangan dan industri pula akan memerlukan anggaran AS$6.9 bilion, begitu juga sektor kesihatan, menurut laporan itu.

    Bagi memulihkan industri pertanian akan memerlukan kira-kira AS$4.2 bilion, pengangkutan memerlukan AS$2.9 bilion, air dan sanitasi dianggarkan AS$2.7 bilion dan pendidikan AS$2.6 bilion. – AFP

    Gambar menunjukkan kemusnahan yang disebabkan oleh serangan udara dan darat Israel di Jabaliya, Semenanjung Gaza pada 11 Februari. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda