Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih AS$6 juta anggaran kerosakan akibat banjir

    MONTPELIER, 4 OGOS – Jumlah kerosakan akibat banjir di Vermont baru-baru ini melebihi AS$6 juta, dan negeri itu meminta bantuan kerajaan persekutuan, kata pegawai.

    Penduduk Vermont berhadapan dengan banjir besar yang merosakkan rumah dan infrastruktur awal minggu ini dan berlaku selepas banjir yang berleluasa di negeri itu. Gabenor Republikan, Phil Scott, berkata Jumaat lalu negeri itu meminta Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan untuk bantuan di beberapa buah daerah.

    Penilaian awal mendapati kerosakan pada infrastruktur awam melebihi $6 juta, jauh melebihi ambang untuk pengisytiharan bencana persekutuan, kata pegawai Vermont.

    “Banyak komuniti yang terjejas akibat ribut 30 hingga 31 Julai lalu sedang memulihkan keadaan daripada banjir kurang sebulan yang lalu,” kata Scott.

    “Ribut dan hujan lebat ini memusnahkan rumah, perniagaan, jalan raya, jambatan, pembetung dan infrastruktur awam yang lain,” ujarnya lagi.

    Pengisytiharan bencana persekutuan akan memberikan bayaran balik kepada komuniti untuk melakukan pembaikan dan tindak balas akibat ribut. Pegawai Vermont meminta penduduk melaporkan kerosakan kepada negeri supaya ia dapat menangani kes dengan baik untuk bantuan persekutuan.

    Banjir di Vermont baru-baru ini telah menjejaskan kerja pembersihan dan pemulihan yang menyusuli banjir hanya beberapa minggu lalu, kata Scott. Para saintis berkata ribut ekstrem berterusan yang didorong oleh pemanasan dunia adalah antara faktor menyebabkan negeri pergunungan itu mengalami lebih banyak banjir.

    Banjir yang berlaku lebih awal Julai lalu berpunca daripada sisa daripada Taufan Beryl. Scott berkata kelmarin, negeri itu juga telah membuat permintaan rasmi untuk pengisytiharan bencana persekutuan bagi ribut tersebut. – AP

    Gambar fail bertarikh 31 Julai 2024 menunjukkan sebuah sungai mengalir melalui jalan yang rosak akibat banjir kilat di Lyndonville, Vermont. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda