Oleh Sim Y. H. dan AK Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani dan AK Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia mempunyai masalah penyakit tidak berjangkit yang serupa di mana penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, darah tinggi dan diabetes bukan sahaja penyakit yang menyerang warga emas malahan golongan muda.
Dalam hubungan itu, saringan kesihatan perlu dilakukan lebih awal untuk mengesan tahap kesihatan dan masalah kesihatan supaya ia dapat dirawat lebih awal. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk mencegah daripada merawat sesuatu penyakit berkenaan, jelas Ketua Pegawai Komersial, Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Nik Yazmin Nik Azman dalam temu bual bersama Media Permata mengenai penyertaan MHTC serta institusi-institusi kesihatan swasta Malaysia dalam Pesta Pelancongan Brunei 2019 anjuran Sabre Travel di Pusat Membeli-belah Onecity, Sungai Hanching, baru-baru ini.
“Penyertaan kami dalam acara ini, adalah untuk memberikan penerangan dan pendidikan kepada para pengunjung di Brunei mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kesihatan swasta yang bertaraf antarabangsa di Malaysia bagi saringan kesihatan, rawatan dan konsultasi.”
Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah warga Brunei yang mula untuk mendapatkan rawatan di institusi-institusi perubatan di Malaysia menunjukkan peningkatan di mana mereka ingin men-dapatkan khidmat nasihat atau rawatan khusus. Beliau menyatakan bahawa institusi-institusi perubatan di Malaysia menawarkan perkhidmatan perubatan yang bertaraf dunia pada harga yang dikawal oleh kerajaan, oleh itu, perkhidmatan yang ditawarkan adalah yang terbaik dengan harga yang berpatutan.
Bagi Jesselton Medical Centre, Kota Kinabalu, Ketua Pegawai Operasinya, Dr Karen Pamela Soh berkata bahawa perkhidmatan yang semakin mendapat tempat di kalangan pengunjung ke pusat kesihatan mereka adalah saringan genetik. Menurutnya, saringan genetik itu merupakan ujian yang mudah tetapi ia memberikan maklumat yang berguna untuk mengenal pasti jika seseorang itu mempunyai gen yang boleh menyebabkan sesuatu penyakit dan mengambil langkah-langkah pencegahan awal boleh di lakukan.
Manakala itu, bagi KPJ Healthcare, Timbalan Pengurus, Pemasaran Antarabangsa dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Irdawani Deris menjelaskan bahawa mereka menyaksikan peningkatan warga Brunei yang mendapatkan khidmat saringan dan rawatan di pusat-pusat perubatan KPJ di negeri-negeri jiran seperti Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mendedahkan bahawa dalam masa terdekat, KPJ akan membuka sebuah lagi cawangan pusat kesihatan yang baharu di Miri, Sarawak yang menawarkan pelbagai pakej-pakej perubatan yang menarik kepada para pengunjung ke bandar raya berkenaan serta pengunjung dari Brunei.
Semasa aktiviti itu, MHTC turut mengundang selebriti terkenal tempatan yang turut menempa nama di Malaysia, Aziz Harun yang berkolaborasi bersama MHTC menjayakan misi murni tersebut. Beliau turut memberikan hadiah berharga berupa pakej pemeriksaan kesihatan serta penginapan tiga hari dua malam di Kuala Lumpur kepada ibunya yang tersayang, Dayang Ainon Abdullah, 61.

