Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih baik kaya daripada terkenal

    Sesetengah orang sanggup melakukan apa sahaja untuk popular. Namun, bagi juara program realiti Anak Wayang, Hairi Safwan, dia lebih suka menjadi kaya daripada popular.

    Tidak hairanlah, pelakon berusia 31 tahun yang baharu muncul dengan filem Busut Bonang ini tidak kisah biarpun namanya ‘tenggelam’ sejak beberapa tahun lalu. Tidak pernah duduk diam, aktor kelahiran Alor Setar, Kedah ini sibuk menguruskan perniagaan ber-sama rakannya sejak lima tahun lalu.

    Produk membakar lemak yang diusahakan mencatat jualan memberangsangkan sehingga Hairi mengaku hidup senang malah bergelar jutawan, sejak dua tahun lalu. Biarpun kehidupan makin selesa, Hairi masih bersederhana malah tidak kisah menunggang motosikal untuk pergi ke lokasi penggambaran.

    “Bagi saya antara kaya dan popular, saya pilih jadi kaya. Apabila ada wang, kita boleh buat apa sahaja untuk popular. Biarpun perniagaan semakin maju, saya tidak berhasrat lagi meninggalkan dunia seni… Lakonan adalah hobi saya,” katanya kepada media. Bagaimanapun, Hairi berkata, dia terpaksa memperlahankan karier seni sejak beberapa bulan lalu kerana menjaga dua anak yang mengalami masalah tonsil.

    “Sesiapa yang ada duit pasti memilih untuk berehat. Namun, bukanlah bermakna apabila ada duit, kita duduk sahaja dan menggunakan wang untuk membeli barangan mewah. Bagi saya, apabila ada wang, tidak semestinya kita boros. Saya lebih suka beringat dan menabung. Keutamaan saya adalah keluarga. Saya lebih senang menggembirakan hati keluarga berbanding memikirkan benda lain,” katanya yang bercadang membeli dua buah rumah bagi memenuhi permintaan isteri, Adiza Azman, 29, tahun depan.

    Biarpun jarang muncul di kaca televisyen (TV), Hairi banyak menerbitkan teater bagi membantu graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang belum memiliki kerja tetap. Bersama Adiza yang juga guru, Hairi dikurniakan dua anak lelaki iaitu Arif Haikal yang berusia empat tahun dan Azad Hakim, dua tahun. – Agensi

    Bagi juara program realiti Anak Wayang, Hairi Safwan lebih suka menjadi kaya daripada popular. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda