KUCHING, 3 MAC – Lebih banyak lagi anjing pengesan dadah diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan bahan narkotik itu ke dalam negara, kata pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Cawangan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.
Katanya ketika ini bilangan haiwan itu yang terlatih untuk tujuan berkenaan terlalu sedikit, dan kerajaan persekutuan perlu menyediakan peruntukan bagi membeli dan melatih lebih banyak anjing ini untuk ditempatkan di pintu-pintu masuk negara.
“Di negara kita ada banyak lapangan terbang, pelabuhan, pos imigresen dan pejabat bungkusan yang (boleh jadi) tempat dadah diseludup masuk, tetapi kita tidak mempunyai anjing pengesan untuk ditempatkan di tempat-tempat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PEMADAM Sarawak di sini.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata setakat ini belum ada alat pengesan yang boleh digunakan untuk mengesan dadah, justeru hanya anjing yang dilatih sahaja boleh berbuat demikian. – Bernama