Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih banyak bantuan oksigen tiba di India

    NEW DELHI, 2 MEI – Lebih banyak bantuan perubatan kecemasan dari negara luar untuk mengatasi kekurangan oksigen tiba di India hari ini, ketika kematian akibat COVID-19 di negara Asia Selatan itu meningkat dan mencatatkan rekod baharu.

    India mencatatkan peningkatan jangkitan hampir setiap hari dan kematian baharu ketika krisis pandemik tersebut memberi tekanan luar biasa kepada hospital di bandar-bandar dan merebak ke kawasan luar bandar.

    Negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu melaporkan 3,689 kematian hari ini – peningkatan kes harian tertinggi dalam wabak tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lebih dari 215,000.

    Sementara itu kurang 400,000 jangkitan baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes melebihi 19.5 juta. Angka terbaharu itu muncul ketika peralatan perubatan, termasuk bantuan oksigen, diterbangkan ke ibu kota New Delhi dari Perancis dan Jerman sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa.

    “Kami di sini kerana kami membawa pertolongan yang … akan menyelamatkan nyawa,” kata duta besar Jerman ke India, Walter J. Lindner, ketika 120 ventilator tiba lewat kelmarin.

    “Di luar sana hospital penuh. Mangsa kadang-kadang mati di depan hospital. Mereka tidak mempunyai oksigen lagi. Kadang-kadang mereka mati di dalam kereta.”

    Duta Perancis Emmanuel Lenain mengatakan bahawa negaranya ingin menunjukkan rasa keprihatinan terhadap India.

    “Wabak ini masih berlaku di satu negara. Dunia tidak akan selamat sehingga kita semua selamat. Oleh itu, ini adalah masalah yang mendesak,” katanya awal hari ini selepas penghantaran lapan loji penjana oksigen dan puluhan ventilator dari Perancis.

    India berjuang untuk mengatasi salah satu wabak koronavirus paling teruk di dunia, ketika lebih banyak bantuan antarabangsa tiba di negara Asia Selatan itu untuk membantu mengakhiri krisis. – AFP

    Seorang pesakit bernafas dengan bantuan oksigen yang disediakan di khemah di tepi jalan di Ghaziabad, kelmarin. – AFP
    Para pesakit bernafas dengan bantuan oksigen di khemah tepi jalan di Ghaziabad, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda