Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Perbicaraan Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin disambung lagi hari ini di mahkamah Tinggi dengan memanggil saksi-saksi terdiri daripada pegawai dan kakitangan bank tempatan.
QC Jonathan Caplan membacakan sebanyak 10 keterangan daripada juruwang-juruwang bank tempatan di hadapan Hakim Gareth John Lugar-Mawson.
Keterangan mendedahkan Ramzidah membuat pengeluaran tunai pertama daripada akaun penerima rasmi (OR) di bawah namanya pada 18 November 2004, yang berjumlah $11,000.
Lebih banyak bukti didengarkan di mahkamah mengenai pengeluaran tunai yang dibuat Ramzidah pada hari-hari berlainan antara 2004 sehingga 2017 daripada pelbagai akaun OR.
Dua saksi yang meluluskan transaksi dalam jumlah besar sehingga $500,000 turut memberi keterangan, yang mana mereka memberitahu bahawa pengeluaran wang tunai yang dibuat Ramzidah diluluskan kerana akaun itu di bawah namanya dan hanya dia sahaja berkuasa untuk menandatangani setiap akaun.
Identiti Ramzidah juga disahkan daripada kad pengenalan yang diberinya.
Salah seorang saksi mempercayai yang pengeluaran wang itu dibuat sebagai menjalankan tugas rasminya selaku hakim mahkamah yang mempunyai kuasa untuk membuat pengeluaran tunai.
Pihak pendakwaan turut memanggil dua kakitangan bank tempatan yang sebelum ini ditugaskan di Unit Kebankrapan, Jabatan Pengumpulan, Pemungutan dan Pemulihan di bank tersebut, yang mana salah seorang daripada mereka mengenali Ramzidah pada 2005 berhubung dengan perkara berkaitan akaun OR di bawah seliaan unit itu.
Sekitar 2006, Ramzidah telah meminta nombor telefonnya dan tidak lama selepas itu, Ramzidah ada menghubungi-nya sebelum pergi ke bank untuk membuat pengeluaran.
Ramzidah datang dan menunggu di dalam keretanya sementara saksi mengambil dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membuat pengeluaran wang dari keretanya.
Saksi kemudian mengambil dokumen itu dan menyerahkannya kepada juruwang untuk diproses. Selalunya dia akan mengambil wang itu di kaunter dan menyerahkannya kepada Ramzidah yang menunggu dalam keretanya, dan mengakui perkara ini berlaku beberapa kali sehingga dia diarahkan untuk tidak lagi berbuat demikian oleh ketuanya. Selepas itu, Ramzidah sendiri mengambil wang itu dari kaunter, kata saksi.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa sebelum ini dia ada menanyakan Ramzidah mengenai pengeluaran wang itu dan hanya diberitahu yang wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank lain.
Seorang lagi saksi yang bekerja di Unit Kebankrapan memberitahu mahkamah bahawa dia mengenali Ramzidah sekitar 2011, yang mana dia turut memberi keterangan yang hampir sama dengan saksi sebelumnya di mana Ramzidah akan menghubunginya sebelum datang ke bank untuk membuat pengeluaran wang.
Saksi ini ada kalanya memaklumkan kepada juruwang bank sebelum Ramzidah tiba supaya dia tidak perlu menunggu lama dan ada masanya, Ramzidah akan memotong barisan kerana dia dilihat sebagai pelanggan yang diberi keutamaan.
Semasa pemeriksaan balas oleh QC Simon Farrell, saksi berkenaan mengakui yang dia dan rakan sekerjanya pernah ditugaskan untuk mengambil wang tunai yang dibayar oleh penghutang penghakiman dari bangunan mahkamah untuk dimasukkan ke dalam bank akaun OR berkenaan dari tahun 2014 sehingga 2017.
Namun pada Ogos 2017, saksi berkenaan memberitahu dia telah diberhentikan kerja.
Apabila ditanya QC Simon Farrell, adakah dia diberhentikan kerana telah mengambil wang yang dikutip dari mahkamah.
Saksi menjawab yang dia tidak mengambil wang itu tetapi dia diberhentikan kerana ‘kecuaiannya’ yang menyebabkan wang itu hilang.
Saksi lain turut memberi keterangan bahawa Unit Perundangan bank ada menanyakan kepada Unit Kebankrapan mengenai pengeluaran wang daripada akaun OR tetapi memandangkan akaun berkenaan di bawah nama Ramzidah dan dia diberi kuasa untuk menandatangani, maka dia tidak dapat dihalang daripada mendapat akses ke atas akaun tersebut.
Menurut saksi lagi, tidak ada timbalan penerima rasmi lain pernah membuat pengeluaran wang daripada akaun OR.
Sebelum menutup perbicaraan, saksi terakhir yang dipanggil ialah penolong pengurus di Unit Kebankrapan yang memberitahu mahkamah bahawa dia menyedari pengeluaran tunai dibuat Ramzidah berdasarkan baki dalam akaun OR.
Katanya, dia pernah menghantar beberapa surat kepada Ramzidah untuk memaklumkan jumlah yang terkumpul di dalam akaun OR untuk dividen yang akan dibayar.
Surat-surat berkenaan juga mengandungi butiran pengeluaran wang tunai yang dibuat daripada akaun tersebut. Pihak pendakwa kemudian menunjukkan beberapa keping surat dan saksi mengesahkan bahawa tanda ‘IN FD’ yang dilihat dalam huruf itu bukan daripadanya.
Saksi juga merujuk kepada satu surat yang diterimanya daripada Ramzidah pada 20 Jun 2012 yang memaklumkan pihak bank mengenai pengeluaran wang berjumlah $80,000 daripada satu akaun dan telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap namun tidak ada maklumat diberikan mengenai butiran akaun. Perbicaraan bersambung lagi pada 30 September.
Pihak pendakwaan diketuai QC Jonathan Caplan dan barisan timbalan pendakwa raya terdiri daripada Hajah Suhana binti Sudin, Hajah Suriana binti Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.