Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Lebih banyak kegembiraan akan datang’

    ROTTERDAM, 19 JUN – Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berharap kemenangan negaranya dalam Liga Negara-negara baru-baru ini boleh mencetuskan era kemenangan baharu untuk La Roja.

    Mereka menewaskan Croatia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas pasukan itu buntu pada kedudukan 0-0 selepas 120 minit di Rotterdam di stadium De Kuip Feyenoord.

    Sepanyol tidak memenangi trofi selama lebih sedekad sejak mereka menang di Euro 2012, dan tersingkir dari Piala Dunia di Qatar tahun lepas dalam pusingan 16 terakhir.

    De la Fuente, yang dilantik secara mengejut untuk menggantikan Luis Enrique, telah bekerja selama bertahun-tahun dalam bola sepak remaja dalam persekutuan Sepanyol.

    “Saya mengenali kumpulan ini dengan baik, saya telah melihat mereka menang di setiap peringkat,” kata De la Fuente pada sidang akhbar.

    Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menahan rembatan penalti dari pemain Croatia, Bruno Petkovic semasa penentuan sepakan penalti perlawanan akhir Liga Negara-negara di Stadium De Kuip, Rotterdam, Belanda, 18 Jun. – AP

    “Saya berasa gembira, gembira untuk mereka, untuk kakitangan, untuk Sepanyol. Saya harap kami dapat kembalikan harapan itu, dari (Piala Dunia) 2010, bahawa kami berbangga untuk mewakili negara kami.”

    Dia menyambung: “Saya mengenali generasi ini dengan baik. Jelas sekali, kemenangan memberikan awda lebih sinar, dan saya menjangkakan lebih banyak kegembiraan akan datang pada masa hadapan.

    “Semua projek dibina dengan lebih baik atas dasar kemenangan dan ini memberikan kami kekuatan, keyakinan, ketenangan yang lebih besar.

    “Biasanya turutan ini berulang pada masa hadapan, kita terbiasa untuk menang.”

    Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic berkata adalah ‘sukar’ untuk tidak memenangi trofi itu, dengan negara itu masih menunggu piala pertamanya.

    Negara Eropah tengah itu menduduki tempat ketiga dalam Piala Dunia 1998 dan 2022, dan naib juara kepada Perancis pada 2018.

    “Amat sukar untuk kami semua selepas perlawanan akhir ini, kami berasa kesal kerana tidak memenangi trofi kerana suasana dan segala-galanya, tetapi kami harus berbangga,” kata Dalic.

    “Tiga pingat adalah sejarah, satu perkara yang sangat hebat untuk dicapai. Ini menunjukkan bahawa masih banyak potensi, banyak yang boleh kita lakukan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda