Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih banyak perlu dilakukan hapuskan ancaman EU

    KUALA LUMPUR, 18 Feb – Lebih banyak perundingan dan tindakan susulan diperlukan bagi menghapuskan ancaman Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel, kata veteran industri, Tan Sri Dr Yusof Basiron.

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memberitahu Bernama yang pendirian Malaysia masih tidak dipedulikan walaupun pelbagai perbincangan telah dijalankan di peringkat kerajaan ke kerajaan.

    “Beberapa kenyataan yang jelas telah dikeluarkan kerajaan negara pengeluar minyak sawit utama untuk menentang larangan itu, malah ada yang menyatakan kemungkinan tindakan atau tindak balas perdagangan, termasuk merujukkanya ke Pertubuhan Perdagangan Dunia, bagi menghalang EU daripada melaksanakan larangan minyak sawit untuk biofuel,” katanya.

    Yusof berkata, pejabat perwakilan MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia di EU telah menyedari keperluan untuk menentang larangan itu apabila ancaman tersebut mula muncul.

    Berikutan itu, pelbagai inisiatif telah diambil, termasuk perbincangan berterusan dengan negara EU bagi menentang larangan oleh blok perdagangan berkenaan.

    Parlimen EU pada 17 Januari 2018 telah mengundi untuk melarang penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit menjelang 2021 manakala biofuel berasaskan minyak sayuran lain seperti minyak soya dan biji sesawi boleh terus diguna sehingga 2030.

    Sepanyol adalah negara EU terbaru yang menentang resolusi berkenaan selepas Perancis, Sweden, United Kingdom (MP Konservatif yang menjadi anggota parti pemerintah Perdana Menteri Theresa May), Jerman dan Belanda.

    Yusof berkata, negara pengeluar minyak sawit menentang larangan ini yang dianggapnya diskriminasi perdagangan yang akan menjejaskan eksport ke EU, kerana minyak soya dan minyak biji sesawi yang dihasilkan Eropah dikecualikan daripada larangan itu.

    “Ada juga anggota Parlimen Eropah yang simpati dan mahu mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan negara pengeluar minyak sawit.

    “Ini dapat dilihat dalam pindaan yang dikemukakan oleh 57 anggota Parlimen Eropah untuk menggugurkan larangan ke atas biofuel minyak sawit. Bagaimanapun 492 anggota Parlimen itu menyokong larangan tersebut, walaupun jumlahnya jauh berkurangan daripada 640 yang mengundii menyokongnya pada April 2017,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda