BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Negara Brunei Darussalam dinamakan ekonomi bertambah baik di dunia selama dua tahun berturut-turut dalam memudahkan perniagaan dan menerima ranking 72 daripada 190 ekonomi berdasarkan Laporan 2017 Doing Business Bank Dunia.
Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, negara ini masih lagi ketinggalan di belakang dalam banyak amalan antarabangsa dan perlu meneruskan usahanya mereformasi agenda untuk mencapai sasaran kedudukan 20 teratas.
Untuk itu, Jawatankuasa Pandu Sektreatriat Ease of Doing Business (EoDB) di Jabatan Perdana Menteri merancang lebih banyak reformasi dan pembaikan dalam memudahkan perniagaan di negara ini dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jawatankuasa itu yang terdiri daripada 13 kumpulan dari pelbagai jabatan kerajaan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Perhubungan akan memastikan reformasi dalam kerajaan bukan sahaja menggunakan pendekatan seluruh negara, malah menyediakan pandangan holistik seluruh nilai rangkaian dan akan terus merapatkan jurang ke sasaran 20 teratas.
Jawatankuasa itu akan bersidang setiap bulan untuk setiap kumpulan melaporkan perkembangan tindakan mereka, menyerlahkan cabaran yang memerlukan sokongan agensi relevan lain dan membentangkan proses prestasi utama. Prestasi ini disokong oleh relevan data dan statistik yang dikumpulkan daripada setiap kumpulan.
Walau bagaimanapun, bermula 2017, Sektretariat EoDB bersama Unit PENGGERAK, secara proaktif telah merangka satu kerjasama lebih baik antara kerajaan dan sektor swasta. Respons membina diterima daripadanya dikongsi semasa mesyuarat bulanan sebagai satu bentuk langkah kualitatif untuk menilai keberkesanan pembaikan ini.
Jawatankuasa mendapati beberapa reformasi pada masa ini sedang berjalan boleh diperbaiki seperti memulakan perniagaan, menangani pembinaan dengan permit, mendaftarkan hartanah, membayar cukai dan perdagangan rentas sempadan. Selari dengannya juga, reformasi perundangan juga perlu diadakan membabitkan penguatkuasaan kontrak, menyelesaikan ketaksolvenan, melindungi pelabur minoriti dan peraturan pasaran buruh.
Selain fokus dalam pembaikan proses kerajaan, terdapat juga pindaan dalam undang-undang yang akan digazetkan dengan kepada awam oleh agensi kerajaan yang diberi bidang kuasa dalam masa terdekat melalui sesi dialog dan juga laman web rasmi. Pindaan ini akan mempromosikan lebih lanjut persekitaran pro perniagaan dengan membenarkan mahkamah mengurangkan jumlah masa dalam menyelesaikan kes-kes komersial, menyediakan perlindungan kepada syarikat-syarikat yang dibelenggu masalah kewangan dan menggalakkan ketelusan melalui pentadbiran korporat lebih baik.
Sektretariat EoDB juga mengambil inisiatif untuk memperbaiki aksesibiliti dan ketelusan maklumat dengan memperbaharui laman web, www.business.gov.bn yang akan berfungsi sebagai portal utama bagi berita terkini, maklumat dan acara berkaitan reformasi kerajaan.