Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih daripada sekadar pasar tani skala kecil Lubnan

    BEIRUT – Berpuluh-puluh pekebun berskala kecil dan pengeluar produk buatan sendiri di Lubnan berkumpul setiap hari Sabtu di Souk el Tayeb, sebuah pasar tani yang paling lama beroperasi di kawasan kejiranan yang meriah di Beirut, Mar Mikhael, dengan harapan dapat membuat tawaran berpatutan walaupun krisis semasa negara melanda.

    Souk el Tayeb bermaksud pasar untuk makanan lazat dalam bahasa Inggeris, telah ditubuhkan pada 2004 untuk memberi petani berskala kecil lebih daripada sekadar tempat untuk menjual produk mereka, kata pengasas Kamal Mouzawak.

    “Ia menggalakkan pertukaran budaya, berfungsi sebagai platform untuk orang ramai dan komuniti tempatan berkongsi makanan, tradisi dan perbualan,” katanya kepada Xinhua.

    “Semasa orang ramai baru pulih daripada perang saudara selama 15 tahun, pasar ini mempunyai kepentingan yang unik dan istimewa, kerana ia menyatukan masyarakat, menggalakkan rakyat Lubnan untuk bekerja antara satu sama lain sekali lagi,” katanya, merujuk kepada pemulihan pasca perang saudara negara sejak 1990.

    Yasmina Zahar dari Deir Mkhalles, sebuah perkampungan alpine sejam memandu ke selatan pusat bandar Beirut, telah berniaga di Souk el Tayeb hampir setiap hujung minggu.

    Orang ramai membeli-belah di Souk El Tayeb di Mar Mikhael, Beirut. – Xinhua
    Salah satu pondok jualan menjual makanan di pasar berkenaan. – Xinhua
    Pembeli memilih bunga yang dijual di salah sebuah pondok. – Xinhua

    “Saya ikut serta dalam projek ini selama kira-kira lima tahun dan saya menyukainya… Terdapat gabungan sosial yang awda tidak nampak di tempat lain,” kata Zahar kepada Xinhua.

    Walaupun terdapat penurunan dalam jualan selepas krisis, Zahar memihak kepada pasar kerana nilai dan prinsipnya yang menggalakkan pembelian makanan tempatan untuk membantu memelihara pertanian tradisional dan desa serta menghidupkan semula pertanian secara keseluruhan pada masa yang sukar.

    Ramai petani berbangga dengan hasil organik yang mereka bawa untuk dijual di pasar Souk el Tayeb. Mario Hakim, yang memiliki ladang di Nahr el Kalb, Rayfoun, Sannine dan kawasan lain di Lubnan, berkata dia datang ke sini setiap minggu untuk berhubung terus dengan pelanggan yang berminat dengan makanan organik dan sanggup membayar dengan harga yang berpatutan. Mengatur buah ceri, strawberi dan pelbagai jenis sayur-sayurannya yang segar, petani Joseph Boustani memberitahu Xinhua pasar memberinya pulangan yang baik dengan menyewa gerai pada harga yang sederhana.

    “Kami biasanya menjual produk kami ke restoran, tetapi pasar di sini memberi kami pendedahan kepada pelbagai jenis pelanggan yang telah terbiasa mengunjungi tempat ini setiap minggu untuk membeli keperluan mereka,” kata Boustani. Bagi pihaknya, Hussein Kazoun, pemilik Field to Fork, sebuah syarikat pengedaran ladang organik, memberitahu Xinhua dia mampu membuat perniagaan yang baik di pasar tani, tetapi jualannya menurun baru-baru ini berikutan kejatuhan mata wang tempatan dan kejatuhan dalam kuasa beli rakyat Lubnan.

    “Kami masih sebahagian daripada projek ini, kami percaya pada nilainya dan peluang besar yang diberikannya kepada petani,” kata Kazoun.

    Mouzawak memberitahu Xinhua petani menyewa gerai dengan bayaran minimum AS$10, jumlah hasil pendapatan daripada operasi aktiviti bertema, akan membantu pasar tani membayar yuran sewanya sendiri.

    Banyak aktiviti bertujuan untuk meningkatkan akses pengguna kepada produk petani, tukang masak dan syarikat makanan tempatan, menurut Mouzawak. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda