Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – QAF Auto Sdn Bhd hari ini melancarkan BMW 1 Series serba baharu, menandakan generasi keempat bagi kenderaan kompak ikonik BMW pada majlis yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Terkenal dengan reka bentuk menarik, prestasi dinamik dan inovasi terkini, 1 Series berkenaan meneruskan kejayaan BMW selama 20 tahun dalam segmen kompak premium. Sama ada BMW 118 yang sporty atau BMW M135 xDrive berprestasi tinggi, barisan model ini direka untuk memberikan kepuasan kepada pemandu di Brunei, lebih-lebih kepada peminat BMW.
Sementara itu, BMW M135 xDrive serba baharu, dengan reka bentuk dinamik, portfolio pemanduan yang direka semula sepenuhnya serta teknologi casis yang dipertingkatkan secara menyeluruh, ia telah mempertingkat profilnya sebagai kenderaan paling sportif dalam persekitaran yang kompetitif.
Selain itu, ia memiliki enjin petrol yang sangat cekap dan proses pengeluaran minyak yang direka untuk memelihara alam sekitar serta mengitar semula bahan api dan mengoptimumkan kelestarian dalam seluruh kitaran hayat produk.
Ciri-cirinya yang progresif juga dicerminkan dalam bahagian dalaman kereta yang direka semula, rangkaian sistem pemanduan dan sistem parkir automatik yang dipertingkatkan, BMW iDrive baharu dengan QuickSelect serta perkhidmatan digital inovatif berdasarkan BMW Operating System 9.
Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo, dalam ucapannya menyatakan rasa teruja peminat kereta hatchback popular kini mempunyai pilihan baharu dan menarik di Brunei.
“Dengan reka bentuk yang unik, BMW M135 xDrive serba baharu dengan tanda gaya M yang tersendiri menarik tumpuan di jalan raya.
Dari segi prestasi, pemandu dijamin dengan kuasa yang hebat, pembelokan yang tepat serta pengendalian yang unggul di jalan,” kata beliau.
Di samping itu, ciri-ciri inovatif kenderaan terbaharu termasuk reka bentuk luaran yang sportif, antaranya bonet yang lebih panjang, ruang penumpang lebih luas, garis bumbung dinamik dan bahagian belakang yang lebih hebat.
Ia juga menawarkan keselesaan dan teknologi canggih yang dipertingkat termasuk enjin generasi baharu transmisi 7-kelajuan, fungsi versi terbaharu QuickSelect serta sistem canggih untuk pemanduan dan parkir.
Orang ramai yang ingin mengetahui atau ingin melihat lebih dekat kenderaan tersebut boleh mengunjungi bilik pameran QAF Auto di Perindustrian Beribi II.