Lebih kenal ‘Nadia’ daripada Jaja

Impak karakter dilakonkan, Jaja Iliyes, 25, lebih dikenali sebagai Nadia Samad iaitu watak dibawa dalam drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku.

Malah, peminat membuka akaun Twitter di bawah nama Nadia Samad, tanda sokongan terhadap Jaja yang mula menempa nama sebagai bakat pelapis dalam dunia lakonan.

Bekas peserta drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) ini mengaku dirinya mula diberi perhatian selepas beraksi dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

“Secara jujur, saya terharu melihat impak watak Nadia cukup ketara sehingga ramai yang membuat parodi di TikTok. Pada musim pertama drama 7 Hari Mencintaiku, ia hanya viral di Twitter, kali ini, pendedahannya lebih meluas,” katanya kepada BH Online.

Tambah Jaja atau nama sebenar, Siti Hajar, penangan karakter dibawa, ramai peminat mahu melihat dia berkahwin dengan pelakon gandingan, Bil Azali dalam drama itu, sama seperti usikan nakal terhadap teman pelakon, Wan Sharmila dan Syazwan Zulkifly.

Jaja mengaku dirinya mula diberi perhatian selepas beraksi dalam drama 7 Hari Mencintaiku. – Agensi

“Disebabkan dalam drama itu kami berkahwin, ramai yang mahu kami disatukan dalam dunia realiti. Mereka suka tengok kami bersama.

“Tetapi saya dan Bil hanya berkawan apabila di luar set penggambaran. Bukanlah hari-hari kami berhubung, namun, kami baik sebagai teman industri,” katanya.

Namun, Jaja bersyukur penampilannya dalam drama 7 Hari Mencintaiku membuatkan dirinya lebih dikenali lantas memberi peluang untuknya melangkah lebih jauh.

“Saya fikir ini berkat doa emak kerana daripada cubaan pertama sampai sekarang, semuanya mendapat maklum balas positif.

“Saya masih baru empat tahun dalam dunia seni. Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk belajar lebih banyak lagi,” katanya yang baru selesai menjayakan drama Syurga Ini Milikmu. – Agensi