Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih kurang 200 sertai majlis ‘Qalbun Salim’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Sebagai tanda penghargaan kepada golongan OKU, lebih kurang 200 orang telah hadir menyertai Majlis ‘Qalbun Salim’ sempena Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU)yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, KKBS, yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, Jalan Perdana Menteri, kelmarin.

    Hadir selaku ketua rombongan majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Haji Mohd Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil.

    Majlis kemudiannya diikuti dengan tazkirah khas bertajuk ‘Sudut Pandang Islam dalam Menyantuni Golongan Berkelainan Upaya’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Nazirul Mubin bin Ahad.

    Sambutan HAOKU pada tahun ini bertema ‘Penyelesaian Transformatif bagi Pembangu-nan Inklusif : Peranan inovasi dalam Memacu Dunia yang Terbuka dan Saksama’.

    Tema ini menerapkan penglibatan OKU secara inklusif dalam perancangan dan penyelesaian pembangunan yang transformatif dalam perkembangan masyarakat serta peranan yang inovatif bagi mencapai akses dan kesaksamaan dan mengiktiraf kelainan upaya sebagai isu-isu bersilang, dan menjalin kerjasama yang kukuh antara persatuan-persatuan bukan kerajaan yang menangani isu kesejahteraan OKU dan kerajaan.

    Bagi menyokong sambutan HAOKU, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) juga diterangi dengan lampu berwarna ungu sebagai warna simbolik Sambutan HAOKU yang turut dipraktikkan oleh negara-negara lain.

    Penyalaan lampu di Jambatan SHOAS selama dua hari telah bermula kelmarin hingga hari ini yang bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi.

    Turut hadir ialah setiausaha–setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, ahli-ahli Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) serta rakan-rakan strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bersama para peserta yang hadir semasa majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda