Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bermula 1 September, melalui kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Darussalam Assets Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), imagine Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), kelajuan garis dasar jalur lebar tetap untuk semua pelanggan telah dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 100Mbps.
Peningkatan kelajuan jalur lebar tetap kepada 100Mbps sehingga 500Mbps membolehkan kelajuan penghantaran yang lebih pantas dan membantu meningkatkan pengalaman Internet pelanggan untuk aktiviti dalam talian seperti menyemak imbas web dan penstriman kandungan berkualiti tinggi, dan ia juga memastikan semua peranti boleh beroperasi dengan lancar serentak.
Ini adalah inisiatif kedua di bawah Program Peningkatan Jalur Lebar Tetap daripada industri telekomunikasi untuk memperkukuh lagi pendigitalan ekonomi Brunei selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2024 dan Wawasan Brunei 2035 bagi mengubah Negara Brunei Darussalam menjadi negara pintar.
Program peningkatan jalur lebar adalah pengumpulan pelaburan ke arah pemodenan dan gentian infrastruktur rangkaian negara sejak Januari 2020 serta dedikasi dan kerja keras dari lapangan, operasi dan pasukan rangkaian untuk memastikan seluruh negara dan rakyatnya menerima keadaan perkhidmatan dan ketersambungan digital (dalam talian) yang setanding dengan piawaian serantau dan global.
Melalui peningkatan kecekapan dan operasi ini, pelanggan mendapat manfaat daripada mengalami Internet berkelajuan tinggi daripada 100Mbps sehingga 500Mbps pada harga yang berpatutan, setanding dengan negara serantau. Pelanggan sedia ada juga akan dipindahkan ke jalur lebar yang lebih tinggi tanpa kos tambahan.
Global Median Speed pada Julai lalu melaporkan daripada Ookla bahawa kedudukan Negara Brunei Darussalam telah meningkat enam tangga di ranking ke-94 berbanding ranking ke-100 di seluruh dunia pada tahun lalu.
Ini adalah bukti penambahbaikan yang dilakukan pada rangkaian Brunei dan kadar penembusan dalam talian di dalam rumah komuniti tempatannya. Program peningkatan kedua itu diharap dapat meningkatkan kedudukan Brunei dari segi piawaian serantau dan kedudukan dalam Indeks Global Median Speed.
“Kami komited untuk memastikan bahawa naik taraf ini tidak rumit, peralihan yang lancar, tiada komplikasi dan hanya pengalaman dalam talian yang lebih pantas dan menyeronokkan bagi pelanggan kami. Dengan peningkatan kelajuan baharu, ini akan memperkasakan pelanggan kami untuk merangkul alam digital dengan kemudahan dan kecekapan yang tiada tandingannya,” kata Pemangku COO DST, Ang Kian Han.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Allen On menambah, “imagine percaya bahawa peningkatan terbaharu ini akan memberi sumbangan besar kepada Brunei ke arah mencapai aspirasi negara pintar dan Wawasan Brunei 2035.
Kami akan terus memperbaharui produk dan menyampaikan perkhidmatan bagi membolehkan industri tempatan yang memanfaatkan ICT terus berkembang.
“Dengan pelan baharu yang dipertingkatkan, pengguna akan menikmati akses yang berpatutan, pantas dan boleh dipercayai kepada sambungan Internet sama ada di rumah, di tempat kerja atau semasa bergerak,” tambah Allen On.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar mengongsikan bahawa berdasarkan pencapaian tahun lepas, Progresif bersedia untuk meningkatkan lagi pengalaman dalam talian bagi pelanggan mereka.
Pada tahun ini, tumpuan utama Progresif adalah untuk memudahkan pilihan yang tersedia bagi pelanggan. Mereka juga berdedikasi untuk meningkatkan pilihan sambil memudahkan keputusan.
Selaras dengan agenda negara, matlamat Progresif adalah untuk memberi pelanggan akses kepada kelajuan yang lebih baik dan kuota data yang lebih besar, semuanya pada harga yang berpatutan.
Ini semua mengenai pilihan pelanggan dan memberi mereka pengalaman terbaik untuk memilih dan disesuaikan dengan pengalaman Internet mereka.