Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih ramai akan sertai Golf LIV

    MIAMI, 20 OKT – Pemenang utama enam kali, Phil Mickelson baru-baru ini berkata bahawa lebih ramai pemain Jelajah PGA akan melompat ke Golf LIV yang dibiayai Saudi walaupun terdapat perjanjian rangka kerja untuk penggabungan menjelang penghujung 2023.

    Pemain kidal Amerika Syarikat (AS) berusia 53 tahun itu, antara yang pertama melompat dari PGA ke jelajah baharu itu tahun lepas, mengeluarkan kenyataan demikian menjelang permulaan Kejohanan Pasukan Golf LIV musim akhir di Doral pada Jumaat.

    “Saya telah menerima panggilan, seperti yang lain, daripada pemain yang menjadi ejen bebas hinggalah pemain Jelajah PGA dan pemain Jelajah DP World yang mahu ikut serta,” kata Mickelson.

    Ditanya sama ada dia menjangkakan ‘perpindahan besar-besaran’ bakat daripada jelajah PGA dan DP World, Mickelson yakin akan ada lebih banyak perpindahan.

    “Adakah saya menjangkakan itu? Tidak. Saya tahu itu akan berlaku,” kata Mickelson. “Apabila pemain melihat LIV, mereka mahu menjadi sebahagian daripadanya.

    “Semua orang di sini gembira dan menikmati apa yang kami lakukan, menikmati aspek pasukan dan menikmati satu sama lain dan keakraban serta menikmati bermain golf di peringkat global dan semua faedah yang datang dengan bermain dalam jelajah ini.

    “Jadi, terdapat ramai pemain yang melihatnya dan mahu menjadi sebahagian daripadanya. Persoalannya ialah berapa banyak tempat yang tersedia. Terdapat lebih ramai pemain yang mahu datang berbanding tempat yang ada.”

    Rundingan penggabungan masih berlanjutan antara ketiga-tiga jelajah sejak pengumuman perjanjian rangka kerja pada Jun, tetapi terdapat tarikh akhir pada 31 Disember untuk sebarang perjanjian diselesaikan.

    Lembaga Polisi Jelajah PGA dengan majoriti pemain termasuk Tiger Woods mesti meluluskan sebarang perjanjian penggabungan. – AFP

    Aksi Mickelson semasa pusingan pertama Golf LIV Jeddah di Royal Greens Golf & Country Club pada 13 Oktober di King Abdullah Economic City, Arab Saudi. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda