Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih ramai suka ke sekolah dan bekerja di pejabat

    Oleh Sim Y. H.

    Kajian menunjukkan bahawa satu pertiga orang lebih suka bekerja dari rumah, kira-kira tiga perempat pelajar dan pendidik lebih suka untuk berada di sekolah dan 60 peratus kakitangan awam dan sektor swasta yang lebih suka berada di tempat kerja mereka.

    Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 32.97 peratus atau 989 orang responden lebih suka bekerja atau belajar di rumah manakala 67.03 peratus atau 2011 orang responden lebih suka untuk bekerja dan belajar di sekolah atau pejabat mereka.

    Dapatan itu merupakan hasil daripada kajian mengenai pembelajaran atau bekerja dari rumah yang dikendalikan oleh Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) menerusi kaji selidik dalam talian yang diadakan pada 17 hingga 23 April.

    Kaji selidik berkenaan dilaksanakan untuk memahami mengenai pengalaman tempatan berhubung dengan pembelajaran atau bekerja dari rumah disebabkan oleh wabak COVID-19 di mana hasil dapatan daripada kaji selidik berkenaan dikongsi dengan pelbagai kementerian, agensi, organisasi relevan dan orang ramai.

    Kaji selidik yang dikendalikan secara dalam talian ditujukan kepada individu-individu di Negara Brunei Darussalam yang baru-baru ini, melaksanakan pembelajaran dan bekerja dari rumah (WFH) secara dalam talian disebabkan oleh langkah-langkah penjarakan sosial untuk menangani COVID-19 di mana saiz sampel adalah seramai 3,000 orang responden.

    Belajar di sekolah lebih digemari pelajar kerana ramai rakan. – Gambar fail.
    Antara cabaran belajar dan kerja online adalah kesediaan dan kesambungan Internet serta kos yang perlu difikirkan. – Gambar hiasan

    Menurut laporan kaji selidik berkenaan, cabaran utama yang dihadapi oleh para responden ialah kelajuan (speed) dan prestasi (performance) sambungan internet serta kos langganan internet. Pada masa yang sama, 54 peratus responden menyatakan bahawa mereka berhadapan dengan banyak gangguan di rumah dan 45 peratus pula berhadapan dengan isu berkaitan pengurusan masa.

    Salah satu isu yang sering diketengahkan ialah pergelutan bekerja dari rumah sambil perlu untuk menangani persekolahan anak-anak di rumah. Cabaran lain yang turut diketengahkan ialah bil elektrik yang lebih tinggi, waktu bekerja yang lebih panjang, kurang ruang kerja yang sesuai di rumah dan kerisauan kesihatan seperti ketegangan mata, sakit kepala, sakit belakang, ergonomik dan lebih kerap makan.

    Terdapat juga sesetengah responden yang melaporkan produktiviti yang rendah manakala terdapat juga yang melaporkan lebih produktif di rumah.

    Sementara itu, kesukaran utama yang dihadapi oleh para pelajar ialah kos dan ketersediaan peranti serta sambungan internet di mana ramai yang mengakui terhadap kurangnya motivasi dan disiplin diri.

    Para pendidik pula menyatakan kesukaran untuk menilai tahap pemahaman pelajar, mencetak bahan pembelajaran pelajar mereka yang ditanggung oleh diri mereka sendiri dan isu berkomunikasi dengan ibu bapa.

    Bagi penjawat awam pula, mereka berhadapan kesukaran berubah kepada bekerja atas talian apabila dokumen masih lagi berasaskan kertas serta isu dengan bos yang tidak menyokong bekerja dari rumah, sebahagian bos yang bertegas untuk mengadakan mesyuarat secara peribadi. Kedua-dua pekerja sektor swasta dan penjawat awam juga menyatakan bahawa waktu bekerja yang lebih panjang di rumah serta merindui peluang bersosial dengan rakan-rakan sejawat.

    Laporan itu juga mengetengahkan cadangan dan ulasan daripada para responden kaji selidik di mana bagi pelajar sebilangan besar mereka mempunyai isu dengan kos, kelajuan dan ketersediaan kesalinghubungan internet serta mencadangkan bagi internet percuma untuk tujuan pendidikan atau pelan pelajar yang lebih mampu dimiliki.

    Para pelajar juga menyatakan bahawa mereka merindui sekolah dan lebih gemar untuk belajar di dalam bilik darjah dengan ramai yang menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih banyak tugasan pada masa ini serta mengalami ketegangan mata dan sakit kepala disebabkan menghabiskan masa yang lama di atas talian.

    Di samping itu, ramai pelajar yang merasa selesa di rumah, mudah terganggu dan juga mengakui menunda-nunda pembelajaran mereka.

    Pelajar universiti pula mempunyai kesukaran mengakses buku dan jurnal bagi penyelidikan, pelatih bimbang mengenai latihan mereka terganggu dan mencadangkan bagi projek penyelidikan sepenuh masa atau menjadi sukarelawan daripada menetap di rumah tanpa melakukan apa-apa.

    Cadangan lain yang dikemukakan adalah termasuk bantuan kewangan atau sumbangan platform bagi pembelian komputer riba atau peranti bagi pelajar-pelajar yang kurang mampu serta mengehadkan pembelajaran atas talian kepada waktu belajar biasa.

    Laporan juga menyatakan bahawa terdapat pelajar yang mengulas bahawa pembelajaran atas talian merupakan permulaan yang baik ke arah pemodenan dan mencapai Wawasan 2035.

    Sementara itu, cadangan dan maklum balas daripada para pendidik pula menyatakan bahawa dalam pengajaran atas talian, di samping mempunyai sambungan internet dan peranti, adalah tidak kurang pentingnya perlu ada disiplin diri, komitmen, pengurusan masa dan kejujuran.

    Beberapa orang pendidik juga melahirkan rasa bimbang bagi pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik yang memilih untuk tidak hadir bagi kelas atas talian bagi beberapa sebab yang menyebabkan mereka untuk merasa tersingkir.

    Para guru menyediakan pek pembelajaran di rumah bagi mereka tetapi para pelajar itu merasa kurang bermotivasi serta terabai kerana tidak dapat me-nyertai kelas atas talian. Adalah diharapkan pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan dapat berhubung dengan kanak-kanak berkenaan dengan segera.

    Laporan menyatakan bahawa seorang pendidik mendapati bahawa WFH adalah lebih produktif, berkongsi beberapa nasihat bagi mendapatkan pengalaman WFH yang berjaya, mereka perlu menyediakan sebuah ruang, sudut atau bilik sebagai pejabat mereka daripada gangguan di rumah, mengamalkan langkah-langkah sekuriti siber yang baik, menjaga penggunaan data mereka, menjadualkan panggilan sidang video harian yang pendek dengan rakan-rakan pejabat setiap hari, berkomunikasi secara efektif menggunakan pelbagai peralatan atas talian serta untuk menjejaki perkembangan harian dan menyerahkannya sebagai laporan mingguan.

    Manakala itu, laporan turut memberikan maklum balas dan cadangan daripada penjawat awam dengan sambungan Internet di rumah yang lebih baik, mesyuarat yang dikendalikan agar lebih pendek dan terus ke perkara yang dibincangkan.

    Mereka juga mencadangkan supaya penyedia perkhidmatan dapat memasang mekanisme yang boleh membezakan data yang digunakan bagi tujuan pendidikan iaitu percuma dan bagi kegunaan media sosial sepanjang tempoh COVID-19.

    Menurut responden, ia e-learning dan WFH merupakan suatu pengalaman yang baharu bagi ramai warga Brunei dan menyatakan adalah penting untuk bermula pada masa ini supaya akan lebih bersedia lagi pada masa akan datang. juga menyatakan bahawa pembelajaran atau bekerja di rumah merupakan sesuatu yang amat baik di mana ia memberikan pandangan ke arah keseimbangan kehidupan kerja, keluarga dan kehidupan sosial harian.

    Di samping itu, perlu ada penekanan bagi mendedahkan dan membudayakan manfaat bekerja dari rumah di kalangan pekerja di sektor awam dan swasta.

    Beberapa maklum balas dan cadangan yang diberikan daripada pekerja di sektor swasta adalah untuk melihat kepada dasar WFH bagi hari Jumaat atau Sabtu selepas COVID-19, mengurangkan kos dari segi kos pengangkutan dan makanan di mana ia membawa kepada penjimatan jika bekerja dari rumah, waktu bekerja yang lebih fleksibel dan kurang stres yang harus digalakkan dan diteruskan serta terdapat juga cadangan supaya WFH boleh dijadikan sebagai satu pilihan bagi sesetengah orang dalam jangka panjang.

    Manakala itu, maklum balas dan cadangan yang diperoleh daripada mereka yang bekerja sendiri mencadangkan bagi sebuah direktori laman sesawang pusat bagi semua skim dan perkhidmatan atas talian yang ditawarkan serta perlunya bagi penerimaan sosial dan masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan atas talian supaya ia dapat menjadi lebih efisien terutama dalam sektor kerajaan.

    Sementara itu, maklum balas daripada mereka yang tidak bekerja menyatakan bahawa tanpa pandemik pada masa ini, kita tidak akan mengetahui lebih mendalam mengenai teknologi yang akan serta mengetahui mengenai dengan kaedah alternatif untuk bekerja atau belajar apabila kita tidak dapat pergi ke tempat kerja atau sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda