NEW DELHI, 1 MAC – India sedang memperluas kempen vaksinasi COVID-19 untuk memasukkan pekerja barisan depan dan penjagaan kesihatan, menawarkan suntikan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan tergolong berisiko.
Di antara mereka yang pertama menerima suntikan vaksin hari ini adalah Perdana Menteri Narendra Modi.
Mereka yang layak divaksinkan sekarang termasuk orang berusia lebih daripada 60 tahun selain berusia melebihi 45 tahun yang mempunyai penyakit seperti penyakit jantung atau diabetes yang membuat mereka mudah terdedah kepada COVID-19. Suntikan akan diberi percuma di hospital kerajaan dan juga akan dijual di lebih 10,000 hospital swasta pada harga 250 rupee setiap suntikan.
Modi, berusia 70 tahun, menerima suntikan di Institut Sains Perubatan Seluruh India di New Delhi. Beliau merayu semua orang mendapatkan suntikan, dan menulis di Twitter, ‘bersama-sama marilah kita semua menjadikan India bebas COVID-19.’
Negara dengan hampir 1.4 bilion penduduk itu memulakan salah satu kempen vaksinasi terbesar dunia pada Januari, tetapi pengeluaran vaksin adalah perlahan.
India telah mencatat lebih daripada 11 juta kes, kedua terbesar di dunia di belakang Amerika Syarikat, dengan lebih 157,000 kematian akibat COVID-19 dalam negara.
Walaupun India menjadi tempat terletaknya pengeluar vaksin terbesar dunia dan mempunyai salah satu program imunisasi terbesar, pelan tidak berjalan lancar seperti yang dijadualkan. Daripada 10 juta pekerja penjagaan kesihatan yang ingin divaksinkan oleh kerajaan, hanya 6.6 juta yang telah menerima suntikan pertama dan 2.4 juta telah menerima kedua-dua dos. Daripada 20 juta pekerja barisan depan seperti polis, hanya 5.1 juta yang telah menerima suntikan.
India telah menetapkan matlamat untuk memvaksinkan 300 juta penduduk menjelang Ogos. – AP