Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih RM260 juta untuk projek tebatan banjir Sibu

    SIBU, 6 OKT – Sebanyak RM268 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu yang melibatkan tiga fasa secara keseluruhan.

    Projek RTB Sibu bermula dengan pelaksanaan fasa satu dan fasa dua yang melibatkan kos kontrak sebanyak RM183 juta telah siap sepenuhnya pada 2012 dan 2015.

    Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu memberikan manfaat perlindungan risiko bencana banjir kepada lebih 10,000 penduduk dengan keluasan 400 hektar yang melibatkan kawasan kediaman, komersial dan sekolah di sekitar Jalan Hulu Lanang termasuk Kem Pasukan Gerakan Am (PGA).

    Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu (fasa tiga) dan lawatan ke kawasan banjir Kampung Usahajaya, Sentosa di Sibu hari ini.

    “RTB fasa tiga melibatkan kos kontrak sebanyak RM85 juta siap sepenuhnya pada 1 Disember 2023. Dengan terlaksananya projek ini, lebih 15,000 penduduk di Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka, Kampung Datu Baru dan kawasan perumahan serta komersial sekitar Jalan Bandong, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Awang Ramli Amit serta seluas 270 hektar kawasan dapat dilindungi daripada risiko bencana banjir,” katanya.

    Fadillah berkata bagi meneruskan pelaksanaan RTB Sibu, kerajaan Sarawak di bawah RMK-12 telah meluluskan skim projek fasa empat bernilai RM120 juta yang dijangka melindungi kawasan seluas 618 hektar apabila siap kelak yang sebahagian besar meliputi kawasan Bukit Assek. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda