KENINGAU, 1 Mei – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Keningau memperuntukkan kira-kira RM874,500 sepanjang tahun lalu bagi 287 kes pelbagai tuntutan faedah tunai pekerja di daerah ini.
Pengurus Perkeso Keningau, Rijal Jamalludin berkata, sebanyak RM113,004.39 disediakan bagi pembayaran 103 kes Faedah Hilang Upaya Sementara manakala RM435,798.08 lagi untuk
12 kes Faedah Orang Tanggungan, RM90,000 untuk 57 kes Faedah Pengurusan Mayat dan RM164,314.24 untuk kes Pencen Penakat.
“Perkeso juga membayar RM39,499.41 untuk 32 kes Pemulihan Ilat, Faedah Pemulihan (RM15,213.63), elaun 20 jemaah doktor (RM6,250) dan enam kes Faedah Perubatan (RM5,770.46),” katanya kepada Bernama.
Menurut Rijal sehingga suku tahun pertama tahun ini, Perkeso Keningau telah memproses dan menunaikan bayaran 94 kes melibatkan perbelanjaan sebanyak RM134,934.84.
Katanya pada 2016, sebanyak 4,869 majikan berdaftar dengan Perkeso Keningau yang melibatkan 68,101 pekerja dengan kutipan tahunan sebanyak RM688,719.82.
Sementara itu, Rijal berkata sepanjang tahun lalu, Perkeso telah mengeluarkan 13 kompaun kepada majikan dan pekerja yang tidak didaftarkan kepada agensi berkenaan.
Perkeso juga telah melakukan lawatan pemulihan ke atas Orang Berinsuran di Keningau, Tambunan, Tenom, Nabawan dan daerah kecil Sook untuk memantau perkembangan terkini mereka.
“Kita juga telah melaksanakan enam program Advokasi Pencegahan Kemalangan sepanjang 2016, yang menyasarkan majikan yang melaporkan kemalangan tertinggi pada 2015 ke atas pengguna motosikal bagi tujuan memberi kesedaran,” katanya.
Menurut Rijal, Perkeso di Keningau telah menubuhkan Skuad Perkeso Perihatin (SPP) bagi memastikan perkhidmatan pantas dan segera dapat dilaksanakan bagi membantu OB Perkeso yang ditimpa bencana dan orang tanggungan. – Bernama