Lebih RM9 billion untuk Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 16 SEPT – Kerajaan memperuntukkan RM4.66 bilion bagi Sabah, dan RM4.47 bilion untuk Sarawak melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan itu bakal disalurkan di bawah Rolling Plan Pertama 2021, RMK12, yang akan dibentangkan di Parlimen 27 Sept ini, dan merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.

“Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di sini malam ini.

Menurutnya, semangat tokoh-tokoh pejuang tidak seharusnya terhenti dalam perang melawan musuh yang tidak terlihat iaitu pandemik COVID-19.

Sekumpulan kanak-kanak menggayakan pakaian tradisi pelbagai kaum di Malaysia dengan bertemakan Jalur Gemilang ketika tinjauan sempena cuti umum Hari Malaysia. Perdana Menteri turut menyeru semua pihak menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini dan bertoleransi dalam semua perkara. –Bernama

“Semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik,” katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik, selain turut memberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.

Mengambil semangat sambutan Hari Malaysia,  Perdana Menteri menyeru semua pihak menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini dan bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara yang dicintai.

“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan sebuah negara bangsa yang berjaya. – Bernama