Thursday, October 24, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih sejuta warga India lari dari taufan

    KOLKATA, 24 OKT – Sekurang-kurangnya 1.1 juta orang di pantai timur India melarikan diri ke pusat perlindungan ribut di pedalaman, beberapa jam sebelum taufan kuat dijangka melanda wilayah rendah itu, kata para menteri hari ini.

    Taufan Dana berkemungkinan melanda pantai Bengal Barat dan negeri Odisha iaitu rumah kepada kira-kira 150 juta orang apabila angin akan bertiup sehingga 120 kilometer sejam dan menyebabkan ‘ribut paling teruk’ pada lewat hari ini, menurut ramalan biro cuaca India.

    Lapangan terbang utama akan ditutup semalaman, termasuk hab pelancongan utama Kolkata, di mana hujan lebat telah pun melanda bandar mega itu.

    Mata ribut itu diramalkan tiba awal Jumaat, berhampiran pelabuhan pengeksport arang batu Dhamara, kira-kira 230 kilometer di barat daya kota besar Kolkata.

    Ia juga dijangka memberi kesan kepada negara jiran rendah Bangladesh, di mana pemimpin kerajaan sementara Muhammad Yunus berkata bahawa ‘persiapan yang meluas’ sedang dibuat.

    Ombak akan ganas menghempas dan dijangka membanjiri kawasan pantai, dengan air diramalkan naik sehingga dua meter melebihi paras air pasang biasa.

    Menteri kesihatan negeri Odisha, Mukesh Mahaling memberitahu AFP bahawa, “hampir sejuta orang dari kawasan pantai dipindahkan ke pusat taufan.”

    Di negeri jiran Bengal Barat, menteri kerajaan Bankim Chandra Hazra berkata, “lebih 100,000 orang setakat ini telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.”

    Aktiviti perniagaan di Puri, sebuah pusat peranginan pantai yang popular, telah diarah tutup dan pelancong disuruh keluar.

    “Semua usaha sedang dilakukan untuk menghadapi taufan dan menyelamatkan nyawa,” kata majistret daerah Puri, Siddharth Swain.

    Sementara itu, pengarah lapangan terbang Kolkata, Pravat Ranjan Beuria berkata lapangan terbang itu akan menangguhkan penerbangan semalaman disebabkan “angin kencang yang diramalkan dan hujan yang akan turut dengan sangat lebat.”

    Lapangan terbang di bandar Bhubaneshwar akan melakukan perkara yang sama, manakala banyak perjalanan kereta api telah dibatalkan dan feri dari Kolkata diarah jangan meninggalkan pelabuhan.

    Taufan berkenaan yang setara dengan taufan di Atlantik Utara atau taufan di barat laut Pasifik adalah ancaman biasa dan mendatangkan maut di utara Lautan Hindi.

    Pada Mei lalu, Taufan Remal membunuh sekurang-kurangnya 48 mangsa dan sekurang-kurangnya 17 mangsa di negara jiran Bangladesh, menurut angka kerajaan.

    Para saintis telah memberi amaran bahawa ribut dan taufan menjadi semakin kuat apabila dunia semakin panas dengan perubahan iklim. – AFP

    Seorang pelayar mandi di Teluk Benggala di pantai Konark di daerah Puri kelmarin, di mana Ribut Tropika Dana dijangka mendarat lewat hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda