WASHINGTON, 30 MEI – Lebih tiga perempat daripada glasier dunia dijangka lenyap jika perubahan iklim berterusan tanpa dikawal, satu kajian baharu memberi amaran kelmarin, mendorong kenaikan paras laut dan menjejaskan bekalan air untuk berbilion-bilion penduduk.
Diterbitkan dalam Science, analisis antarabangsa itu memberikan gambaran paling jelas mengenai kehilangan glasier jangka panjang, mendedahkan setiap pecahan darjah kenaikan suhu global memburukkan keadaan dengan ketara.
Ia mungkin kedengaran serius, tetapi penulis utama bersama selaku ahli glasiologi di Vrije Universiteit Brussel dan ETH Zurich, Harry Zekollari berkata kepada AFP penemuan itu perlu dilihat sebagai ‘mesej harapan masa depan.’
Di bawah dasar iklim sedia ada, suhu global dijangka mencecah 2.7 darjah Celsius (C) di atas paras pra-industri menjelang 2100 – laluan yang akhirnya akan menghapuskan 76 peratus jisim glasier semasa sepanjang abad akan datang.
Namun jika pemanasan menepati sasaran 1.5C yang dinyatakan semasa Perjanjian Paris, 54 peratus jisim glasier boleh dikekalkan, menurut kajian itu, yang menggabungkan pengeluaran daripada lapan model glasier untuk mensimulasikan kehilangan ais merentasi pelbagai senario iklim masa depan.
“Apa yang benar-benar istimewa tentang kajian ini ialah kami benar-benar dapat menunjukkan bagaimana setiap sepersepuluh tambahan darjah pemanasan adalah penting,” kata pengarang bersama, Lilian Schuster, dari Universiti Innsbruck kepada AFP. – AFP
