Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih separuh Eropah, Mediterranean terjejas akibat kemarau

    PARIS, 26 OGOS – Lebih separuh daripada Eropah dan lembangan Mediterranean terjejas akibat kemarau dalam sepuluh hari pertama Ogos, menurut analisis AFP daripada data yang diperoleh Balai Cerap Kemarau Eropah (EDO), kelmarin.

    Angka 51.3 peratus itu adalah paras tertinggi yang dicatatkan untuk tempoh 1 hingga 10 Ogos sejak pengumpulan data bermula pada 2012.

    Kira-kira separuh daripada kawasan itu telah terjejas oleh kemarau sejak pertengahan April 2025, keadaan yang lebih teruk daripada kemarau pada musim panas 2022.

    Petunjuk Balai Cerap Kemarau yang ditentukan oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah menggunakan imejan satelit untuk mengukur hujan, kelembapan tanah dan keadaan tumbuh-tumbuhan.

    Penemuan kemudiannya dikategorikan kepada salah satu daripada tiga tahap kemarau iaitu pemantauan, amaran dan berjaga-jaga.

    Gambar bertarikh 25 Ogos 2025 menunjukkan kebakaran hutan di Garano, berhampiran Leon, barat laut Sepanyol. – AFP

    Pada awal Ogos, 7.8 peratus Eropah dan lembangan Mediterranean diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, paras tertinggi, manakala 38.7 peratus berada pada tahap amaran dan 4.9 peratus dalam pemantauan.

    Wilayah Caucasus dan utara Balkan pa-ling terjejas oleh kemarau, dengan 97 peratus wilayah Georgia dan Armenia terjejas, diikuti oleh Bulgaria dan Kosovo. Serbia, Macedonia Utara, Albania, Hungary dan Montenegro semuanya menyaksikan tiga perempat daripada kawasan permukaan mereka diletakkan pada tahap amaran atau berjaga-jaga.

    Kawasan Eropah itu pada Julai dan Ogos mengalami gelombang panas yang mendorong berlakunya banyak kebakaran hutan, meninggalkan seorang terbunuh di Montenegro dan satu di Albania.

    Sepanyol, Portugal dan Itali, yang turut dilanda kebakaran hutan yang kerap bulan ini, kini hanya terjejas di peringkat tempatan. Di Britain, bagaimanapun, 69.5 peratus dan Perancis 63 peratus wilayah mereka terjejas, menurut EDO. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda