Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Lebih separuh kanak-kanak Ukraine tiada tempat tinggal

    GENEVA, 24 MAC – Lebih separuh daripada semua kanak-kanak di Ukraine telah dipindahkan dari rumah mereka sejak Rusia melancarkan serangan besar-besarannya pada 24 Februari, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    “Peperangan selama sebulan di Ukraine telah menyebabkan 4.3 juta kanak-kanak kehilangan tempat tinggal – lebih separuh daripada anggaran 7.5 juta penduduk kanak-kanak di negara itu,” kata agensi kanak-kanak PBB Unicef.

    Kanak-kanak yang dipindahkan merupakan hampir separuh daripada lebih 10 juta orang yang telah terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak pencerobohan bermula.

    Lebih 1.8 juta kanak-kanak telah melarikan diri dari Ukraine sebagai pelarian, manakala 2.5 juta lagi kini kehilangan tempat tinggal di dalam negara mereka yang dilanda perang, kata PBB.

    “Perang itu telah menyebabkan salah satu perpindahan berskala besar kanak-kanak terpantas sejak Perang Dunia Kedua,” kata ketua Unicef, Catherine Russell.

    Seorang kanak-kanak perempuan duduk di sebelah patung beruangnya ketika pelarian dari Ukraine menunggu di stesen kereta api utama di Przemysl, tenggara Poland, kelmarin. – AFP

    “Ini adalah satu kejayaan yang suram yang boleh membawa akibat yang berkekalan untuk generasi akan datang,” dia memberi amaran.

    “Keselamatan, kesejahteraan dan akses kepada perkhidmatan penting kanak-kanak semuanya terancam daripada keganasan ngeri tanpa henti.”

    Komennya dibuat sebulan selepas kereta kebal Rusia memasuki sempadan, membawa konflik yang telah membunuh beribu-ribu orang awam Ukraine.

    Pejabat hak asasi manusia PBB telah mengesahkan bahawa 81 kanak-kanak telah terbunuh dalam konflik dan 108 cedera tetapi mengakui bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

    PBB juga mengecam bahawa konflik itu membawa kesan buruk ke atas infrastruktur awam dan akses kepada perkhidmatan asas. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 ditahan lepaskan tembakan ke rumah bintang Bollywood

    AHMEDABAD, 16 APRIL – Dua anggota kumpulan penjenayah terkenal ditahan polis India hari ini kerana melepaskan tembakan ke arah rumah pelakon Bollywood, Salman Khan...