Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih separuh kanak-kanak Syria tidak bersekolah

    DAMSYIK, 31 DIS – Kira-kira separuh daripada kanak-kanak di Syria terlepas peluang pendidikan selepas hampir 14 tahun perang saudara, menurut Save the Children yang menyeru tindakan segera kelmarin.

    Kebanyakan kanak-kanak Syria juga memerlukan bantuan kemanusiaan segera termasuk makanan dan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka memerlukan bantuan psikologi untuk mengatasi trauma perang, kata badan amal tersebut.

    “Lebih kurang 3.7 juta kanak-kanak tidak bersekolah dan mereka memerlukan tindakan segera untuk memasukkan semula mereka ke dalam sistem pendidikan,” kata Pengarah Save the Children, Rasha Muhrez di Syria, dalam satu temu bual dari ibu negara, Damsyik.

    Walaupun rakyat Syria telah melalui lebih satu dekad konflik, serangan pemberontak yang pesat menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember menyebabkan lebih banyak gangguan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih daripada 700,000 orang kehilangan tempat tinggal.

    “Beberapa sekolah digunakan semula sebagai tempat perlindungan akibat gelombang baharu orang yang dipindahkan,” tambah Muhrez.

    Perang yang bermula pada 2011 selepas tindakan keras Assad terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan telah memusnahkan ekonomi dan infrastruktur awam Syria, menyebabkan ramai kanak-kanak terdedah kepada serangan.

    Muhrez berkata, “Kira-kira 7.5 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

    “Kita perlu memastikan kanak-kanak dapat kembali menerima pendidikan, untuk memastikan mereka mendapat akses semula kepada penjagaan kesihatan, makanan dan dilindungi,” katanya.

    “Kanak-kanak telah dinafikan hak-hak asas mereka termasuk akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan dan tempat tinggal yang selamat,” tambahnya. – AFP

    Seorang kanak-kanak menggendong anak kecil, berdiri berhampiran khemah sementara di Idlib, Syria pada 28 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda