KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Lebih separuh daripada 120 pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara akan diberi pelepasan daripada menjalani latihan bagi membendung penularan COVID-19 yang dikesan di lokasi berkenaan baru-baru ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau telah memaklumkan Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh agar pelepasan diberi kepada para pemain yang tidak terlibat dengan program Road To Tokyo, mereka yang masih memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo selain beberapa pemain junior yang akan menyertai kejohanan di Slovenia tidak lama lagi.
“Saya telah berbincang dengan Kenny semalam untuk beliau mengkaji semula keutamaan latihan di ABM kerana kita harus belajar daripada apa yang telah berlaku baru-baru ini.
“Sebelum ini, ABM merupakan satu daripada lokasi latihan yang mempraktikkan model gelembung sukan dengan SOP (prosedur operasi standard) agak ketat namun, apabila kita membuka sedikit ruang terdapat pula pemain yang menjangkiti komuniti di situ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum itu menerima kunjungan terhormat daripada barisan kepimpinan serta exco baharu Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) bagi tempoh 2020-2023 diketuai Presidennya Norismadi Abd Manap, di sini.
Katanya, mereka yang diberi pelepasan daripada menjalani latihan di ABM di-jangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sebelum kembali ke akademi berkenaan selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Pemain badminton negara kembali turun berlatih di ABM pada Selasa selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif COVID-19 di akademi berkenaan berikutan enam pemain disahkan positif pada 17 April lepas. – Bernama
