NEW YORK, 12 DIS – Lebih separuh daripada penduduk Sudan Selatan mengalami kelaparan, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, lapor Xinhua.
Sementara itu, dianggarkan 1.6 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan atau malnutrisi yang serius hingga Jun 2024, menurut pejabat itu.
Rayuan kemanusiaan bagi membantu 7.4 juta orang di Sudan Selatan tahun ini hanya mendapat pembiayaan separuh dengan kira-kira AS$1 bilion diterima, memaksa agensi kemanusiaan mengurangkan separuh bekalan dan mengurangkan sokongan akibat pemotongan pembiayaan.
Dalam satu kenyataan bersama, penyelaras pencegahan dan tindak balas kebuluran PBB, Reena Ghelani dan pemangku penyelaras kemanusiaan PBB untuk Sudan Selatan, Martie Helene Verney berkata dunia tidak boleh mengabaikan ketidakstabilan makanan dan kekurangan zat makanan di Sudan Selatan. – Bernama


