Lebih tiga juta kematian COVID-19 seluruh dunia

PARIS, 3 MEI – Wabak koronavirus telah membunuh sekurang-kurangnya 3,203,937 orang sejak wabak itu muncul di China pada Disember 2019, menurut penghitungan dari sumber rasmi yang dibuat oleh AFP hari ini.

Sekurang-kurangnya 152,737,970 kes koronavirus telah didaftarkan.

Sebilangan besar telah pulih, walaupun ada yang terus mengalami gejala beberapa minggu atau bahkan beberapa bulan kemudian.

Angka tersebut berdasarkan kes kematiah harian yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan di setiap negara dan tidak termasuk penilaian semula oleh organisasi statistik kemudian, seperti yang telah terjadi di Rusia, Sepanyol dan Britain.

Kelmarin, 10,160 kes kematian baharu dan 705,957 kes baharu dicatatkan di seluruh dunia.

Negara dengan kes kematian tertinggi adalah India dengan 3,417 kes, diikuti Brazil dengan 1,202 kes dan Colombia dengan 485 kes kematian.

AS adalah negara yang paling teruk terjejas dengan 577,045 kematian daripada 32,421,713 kes.

Selepas AS, negara yang paling teruk dilanda ialah Brazil dengan 407,639 kematian dari 14,754,910 kes, diikuti India dengan 218,959 kematian dari 19,925,604 kes, Mexico dengan 217,233 kematian dari 2,348,873 kes dan United Kingdom dengan 127,538 kematian dari 4,420,201 kes.

Negara dengan jumlah kematian tertinggi berdasarkan purata penduduknya adalah Hungary dengan 288 kematian per 100,000 penduduk, diikuti oleh Republik Czech dengan 274 kematian, Bosnia dengan 261 kematian, Montenegro dengan 240 kematian dan Macedonia Utara dengan 237 kematian. – AFP

Saudara mara membawa mayat mangsa COVID-19 sebelum pembakaran di New Delhi semalam. – AFP