Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebihan perdagangan negara menurun pada Disember 2023

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Imbangan perdagangan bagi bulan Disember 2023 mencatatkan lebihan sebanyak $915.7 juta, dengan jumlah perdagangan sebanyak $2,130.7 juta berbanding $2,292.3 juta pada bulan November 2023, menurut perkongsian statistik Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran akhbar Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Disember 2023.

    Sementara nilai eksport pada bulan Disember 2023 adalah $1,523.2 juta, dengan Bahan Api Galian sebagai penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam (81.9 peratus), diikuti oleh Bahan Kimia (17.1 peratus), dan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (0.5 peratus).

    Pasaran eksport utama pula adalah Australia (26.1 peratus), Republik Rakyat China (16.1 peratus) dan Singapura (14 peratus), dengan Bahan Api Galian dan Bahan Kimia sebagai komoditi eksport terbesar.

    Manakala nilai import pada bulan Disember 2023 adalah $607.5 juta, dengan Bahan Api Galian sebagai komoditi import utama (59 peratus), diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (12.2 peratus), Makanan (9.1 peratus), Barang-Barang Keluaran Kilang (7 peratus), dan Bahan-Bahan Kimia (6.3 peratus).

    Rakan dagangan import terbesar adalah dari Malaysia (47.3 peratus), Republik Rakyat China (14.2 peratus) dan Australia (12.9 peratus).

    Sebanyak 60.3 peratus import adalah digunakan sebagai Barangan Perantaraan bagi pemprosesan, 35.4 peratus sebagai Barangan Modal bagi operasi perniagaan dan 4.3 peratus sebagai Barangan Penggunaan bagi kegunaan isi rumah.

    Sebanyak 95.6 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut, 3.1 peratus oleh pengangkutan udara dan 1.3 peratus melalui darat.

    Bagi keseluruhan tahun 2023, nilai jumlah perdagangan adalah sebanyak $25,149.3 juta, berbanding $32,287.9 juta pada tahun 2022. Imbangan perdagangan pula adalah sebanyak $5,044.9 juta, berbanding $6,959.3 juta pada tahun 2022.

    Laporan IMTS bagi bulan Disember 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    Peratusan taburan eksport mengikut rakan dagangan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda