EL SEGUNDO, 30 SEPT – LeBron James berkata kelmarin bahawa dia belum membuat keputusan bila akan bersara daripada bola keranjang ketika bersedia menjadi pemain pertama dalam sejarah NBA yang bermain musim ke-23 dalam liga itu.
Bintang Los Angeles Lakers itu memberitahu wartawan pada hari media bahawa dia ‘teruja’ dengan prospek musim lain dalam liga bersama Luka Doncic dan jadual perlawanan baharu.
James akan berumur 41 tahun pada Disember ini dan merancang untuk menikmati setiap detik penghujung kerjaya gemilangnya yang merangkumi tiga dekad berbeza.
Namun, juara empat kali NBA dan penjaring mata terbanyak sepanjang zaman itu berkata dia tidak tahu bila masanya untuk bersara.
“Saya teruja dengan hari ini, saya teruja dengan peluang untuk bermain dalam sukan yang saya sayangi untuk satu musim lagi,” kata James kepada wartawan.

“Apa sahaja perjalanan yang bakal berlaku tahun ini, saya amat komited kerana saya tidak tahu bila pengakhirannya. Ia akan datang lebih cepat daripada yang dijangka.
“Saya amat menghargai saat saya dapat datang ke sini untuk satu lagi hari media dan bercakap dengan awda semua.”
James, yang mencatat purata 24.4 mata setiap perlawanan musim lalu, berkata minatnya terhadap bola keranjang dan keinginan untuk terus meningkatkan prestasi masih tidak berkurangan.
“Yang masih mendorong saya adalah fakta bahawa minat saya terhadap permainan ini masih tinggi dan minat terhadap prosesnya lebih tinggi lagi,” katanya.
“Ia mudah sahaja, saya berlatih dan menjaga badan saya serta berusaha untuk menjadikan badan saya hampir 100 peratus setiap tahun, ia sesuatu yang indah bagi saya… Musim NBA adalah seperti roda roller coaster. Tetapi tidak kira baik, buruk atau sukar, saya masih suka proses itu.” – AFP

