LOS ANGELES, 31 Okt – Bintang NBA, LeBron James memberi amaran kepada rakan sepasukan mudanya dari Los Angeles Lakers bahawa kesabarannya begitu tipis selepas kekalahan ketiga kurang dari dua minggu dalam musim baharu ini.
“Anda mungkin tidak mahu berada di sekitar saya apabila kesabaran saya sudah tiada.
Saya serius,” kata James selepas Lakers tewas 124-120 di Minnesota pada awal pagi Selasa, yang meninggalkan mereka dengan lima kekalahan dari tujuh perlawanan pembukaan mereka.
“Kami bercakap mengenai kesabaran tetapi anda tidak melakukan perkara yang sama. Jika anda melakukan perkara yang sama dan mengharapkan keputusan sama ia adalah gila.
“Jadi kami perlu mendapatkan kedudukan lebih baik. Kami tidak akan terus melakukan kesilapan yang sama.”
James, pemenang Pemain Paling Bernilai NBA sebanyak empat kali, telah beraksi dalam lapan perlawanan Final NBA, memenangi gelaran bersama Miami Heat pada 2012 dan 2013 dan Cleveland Cavaliers pada tahun 2016.
Tetapi dia meninggalkan Cavaliers dan pada 1 Julai menandatangani bersama Pasukan Lakers, yang tewas ketiga-tiga perlawanan mereka yang ditentukan dengan empat mata atau lebih musim ini.
Jurulatih Lakers, Luke Walton tidak gembira dengan 18 turnover dan apa yang dilihatnya sebagai permainan bersendirian.
“Sebahagian daripadanya adalah hantaran malas,” kata Walton. “Kami memiliki banyak peluang untuk membuat larian lebih awal, dan kami tidak mendapatkan kelebihan itu kerana kami hanya melempar bola.”
James menghasilkan 29 mata, 10 rebound, tujuh assist, dua steal dan dua halangan lontaran.
“Saya masih mampu mendapatkan rebound, masih bertahan,” kata James. “Saya masih boleh menghasilkan impak jika saya membuat lontaran atau tidak. Saya bukanlah pemain yang satu dimensi.” – AFP