LOS ANGELES, 31 Julai – LeBron James berkata beliau tidak sabar untuk menghadapi cabaran bersama Los Angeles Lakers, yang keluar daripada tempoh lima tahun yang terburuk dalam sejarah francais.
“Saya suka cabaran dalam membantu pasukan untuk mengukuhkan kedudukan di mana sebelum ini mereka tidak melakukannya,” beritahu James kepada rangkaian sukan Amerika, ESPN. “Dan jelas sekali, Lakers belum mencapai playoff dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan tetapi pertubuhan Lakers dan sejarah francais setaraf dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.
“Anda boleh melihat NFL Dallas Cowboys dan NFL New England Patriots, Manchester United, Boston Celtics, ini adalah contoh francais yang bersejarah.
“Dan bagi saya menjadi sebahagian daripadanya, saya rasa ia merupakan langkah yang baik bukan sahaja untuk saya tetapi untuk keluarga dan sejarah bola keranjang secara umum.”
James kelmarin bercakap kepada umum sejak meninggalkan Cleveland Cavaliers dan menyertai Lakers.
Pemain berusia 33 tahun itu menyertai musim NBA ke-16. Beliau telah merangkul tiga kejuaraan dan mara ke final sembilan kali termasuk lapan tahun berturut-turut.
James memeterai perjanjian empat tahun dengan nilai kontrak AS$154 juta bersama Lakers, meninggalkan Cavaliers selepas empat musim di mana beliau membawa Cavaliers mara ke empat final NBA.
James membawa Cleveland merangkul kejuaraan pertama sejak 1964 apabila Cavs menjuarai NBA 2016 tetapi tewas tiga daripada empat pertembungan finals dengan Golden State Warriors. Beliau memutuskan untuk membentuk semula harapan Lakers menuju kejuaraan.
Apabila James menyertai Miami Heat, beliau membawa Miami mencatat rekod 58-24 dan mara ke final dalam musim pertama. – AFP