LOS ANGELES, 10 MAC – Bintang Los Angeles Lakers, LeBron James dijangka akan terlepas aksi sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu akibat kecederaan paha, lapor ESPN kelmarin.
James, penjaring terbanyak NBA sepanjang masa, terpaksa keluar meninggalkan perlawanan, yang tewas kepada Boston Celtics, pada suku keempat Sabtu lalu.
ESPN, memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa dia akan menunggu kecederaannya ‘reda’ sebelum menjalani penilaian lanjut, dan dalam masa yang sama, Lakers bersedia untuk bermain tanpa beliau dalam tempoh masa tertentu, dan akan berhati-hati kerana mereka berada di tangga ketiga dalam Western Conference.
James menafikan kebimbangan mengenai kecederaannya sejurus selepas perlawanan, dengan mengatakan bahawa tidak timbulnya kebimbangan besar.
Dia berkata kecederaan itu tidak kelihatan seteruk kecederaan paha yang dialaminya, yang menyebabkannya terlepas 17 perlawanan pada musim 2018-19.
Kecederaan dialami pemain berusia 40 tahun itu berlaku ketika pasukan Lakers sedang bangkit menuju ke playoff.
James, yang pada Selasa lalu menjadi pemain pertama untuk mencapai 50,000 mata dalam karier termasuk musim biasa dan playoff, mencatat purata 25 mata, 8.5 assists, dan 8.2 rebound musim ini. – AFP
