Saturday, February 8, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebuh raya 187km tarikan utama Cuti Tahun Baharu

    PHNOM PENH, 2 JAN – Kira-kira 83,900 kenderaan telah melakukan perjalanan di Lebuh raya Phnom Penh-Sihanoukville semasa cuti Tahun Baharu, bermula dari Sabtu hingga kelmarin, kata seorang pegawai kanan Kemboja hari ini.

    Heang Sotheayuth, jurucakap dan Ketua Pengarah Teknologi dan Perhubungan Awam di Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan, berkata lebuh raya itu menerima 21,900 kenderaan pada Sabtu lalu, 28,900 pada Ahad dan 33,100 kelmarin.

    “Sebilangan besar kenderaan telah melalui lebuh raya itu semasa cuti dan ini membuktikan bahawa lebuh raya ini merupakan laluan berpotensi untuk ekonomi, pelancongan dan perdagangan,” katanya kepada Xinhua. “Dengan lebuh raya itu, Sihanoukville telah menjadi tumpuan pelancong,” ujarnya.

    Dilabur oleh China Road and Bridge Corporation (CRBC) dalam jumlah AS$2 bilion, lebuh raya sepanjang 187 kilometer (km) itu menghubungkan ibu kota Phnom Penh dengan bandar pelabuhan laut dalam antarabangsa Sihanoukville.

    Lebuh raya itu dibuka secara rasmi kepada lalu lintas pada November 2022.

    Menurut Cambodian PPSHV Expressway Co. Ltd, pengendali Lebuh raya Phnom Penh-Sihanoukville, hampir 5.2 juta kenderaan melalui lebuh raya itu pada tahun pertama operasi komersialnya.

    Sotheayuth berkata lebuh raya itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan sistem perjalanan dan logistik di Kemboja dan ia adalah jalan strategik bagi kerajaan untuk meningkatkan pertukaran perdagangan dengan negara lain.

    “Perjalanan di lebuh raya telah menjimatkan bahan api dan masa serta jauh lebih selamat berbanding melalui jalan biasa,” katanya. – Xinhua

    Pemandangan dari atas Lebuh raya Phnom Penh-Sihanoukville pada 27 September 2023. – ANN/The Phnom Penh Post

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda