Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebuh raya hubungkan India-Myanmar-Thailand tergendala akibat konflik

    PHNOM PENH, 20 FEB – Lebuh raya yang menghubungkan India-Myanmar-Thailand, bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN dan memperluas pengaruh India dalam perdagangan dan perniagaan di Asia Tenggara terus berdepan halangan.

    Lebuh raya bercita-cita tinggi sepanjang 1,360 kilometer (km) yang dimulakan di Yangon pada April 2002 itu dibebani dengan masalah ketika ia melalui wilayah Myanmar yang terjejas konflik.

    Usaha pihak berkuasa India dan Thailand berjaya menyiapkan 70 peratus projek daripada itu, namun bahagian penting yang menghubungkan Myanmar terhenti atas faktor keselamatan.

    Ketidakstabilan di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 menyebabkan pembinaan tertangguh, walaupun terdapat percubaan untuk menghidupkan semula projek itu dan menyiapkannya menjelang 2027.

    Lebuh raya itu sebelum ini telah terlepas tarikh akhir asalnya pada 2015.

    Sebahagian besar laluan lebuh raya itu terletak di dalam Myanmar, merentasi Moreh di India, Mandalay di Myanmar dan berakhir di Mae Sot, Thailand.

    “Strategi yang lebih fleksibel diperlukan, termasuk laluan alternatif, kesalinghubungan pelbagai mod dan jangkauan diplomatik dengan semua pihak berkepentingan.

    “Memastikan keselamatan adalah satu kemestian, dan jika tiada pilihan lain, maka meneroka pilihan laluan pintasan mungkin dapat membantu memastikan projek ini berada di landasan yang betul,” kata Felo Penyelidik di Indian Council of World Affairs yang berpangkalan di New Delhi, Dr Tunchinmang Langel kepada Bernama.

    Lebuh raya empat lorong itu adalah sebahagian daripada projek infrastruktur mega India yang akhirnya akan menghubungkan Kemboja, Laos dan Vietnam, merangkumi 3,200km – pemangkin perdagangan bagi wilayah Indochina yang makmur. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda