Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebuh Raya Pan Borneo bantu bina ekonomi setempat

    SANDAKAN, 7 NOV – Laluan Lebuh Raya Pan Borneo dari Jalan Segaliud ke Batu 32, Sandakan, sepanjang 18.125 kilometer (km) yang siap pada Ogos 2023 bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan jaringan jalan raya di kawasan pantai timur Sabah malah membantu membangunkan sosioekonomi penduduk setempat.

    Peniaga Agro Bazar di Batu 32, Nur Farhanah Ali, 30an, berkata sejak lebuh raya itu siap dibina keadaan lalu lintas di kawasan itu semakin lancar dan teratur selain tiada lagi kesesakan seperti sebelum ini.

    Beliau berkata pembinaan persimpangan bertingkat yang menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau itu juga membantu merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya dalam kalangan peniaga kecil di kawasan tersebut.

    “Ramai pengguna jalan raya singgah ke gerai Agro Bazar di sini berbanding sebelum pembinaan lebuh raya ini. Pembinaannya telah membawa rezeki lebih baik buat kami peniaga kecil,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sapinah Abdullah, 50, pula berkata perancangan lebuh raya itu telah dibuat dengan baik apabila turut membina laluan masuk ke Agro Bazar, membolehkan lebih ramai pengguna jalan raya singgah untuk berehat sambil membeli produk penduduk setempat.

    “Banyak impak positif buat kami peniaga, penghantaran bekalan barang niaga juga lebih lancar tidak seperti sebelum wujudnya Pan Borneo ini apabila penghantaran bekalan sering lewat dan tergendala akibat jalan rosak,” katanya.

    Sementara itu, Wakil Penguasa (Jurutera) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Mohd Annafi Abu Bakar berkata projek Jalan Segaliud-Batu 32 itu dibina dengan kos RM268.55 juta.

    Beliau berkata ia meliputi naik taraf jalan kepada dua lorong bagi kedua-dua hala, membina jambatan Sungai Segaliud, jejantas pejalan kaki Sekolah Menengah Kebangsaan Segaliud serta sembilan pusingan U dan 132 lampu jalan.

    Mohd Annafi berkata dengan pembinaan persimpangan bertingkat baharu itu, aliran trafik kini lebih lancar tanpa gangguan keluar masuk kenderaan dan mengurangkan masa perjalanan 15 hingga 20 minit. – Bernama

    Laluan Lebuh Raya Pan Borneo meningkatkan kecekapan jaringan jalan raya di kawasan pantai timur Sabah sekaligus membantu membangunkan sosioekonomi penduduk setempat. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda