KUCHING, 22 MEI – Lebuh raya Pan Borneo, termasuk laluan dikenali sebagai Lebuh raya Trans Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah, dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira lima tahun lagi.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini pembinaan Lebuh raya Pan Borneo telah mencapai 82 peratus siap, dengan empat pakej yang telah siap sepenuhnya merangkumi pakej Telok Melano-Sematan, Nyabau, Serian-Balai Ringin dan Julau.
Beliau berkata pakej selebihnya dijangka siap pada hujung tahun ini, walaupun beliau menjangka mungkin satu atau dua pakej akan terlewat disebabkan pelbagai cabaran terutamanya dari segi kekurangan bahan, kenaikan harga barang dan kekurangan tenaga kerja asing, terutamanya dari Indonesia.
“Kenaikan harga minyak diesel juga salah satu cabaran yang dihadapi oleh kontraktor selain daripada kenaikan harga besi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jejambat Batu 10, Seksyen Kuching-Serian Road (KSR) yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuh raya Pan Borneo.
Fasa Satu Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri, manakala Lebuh raya Pan Borneo Fasa Dua bermula dari Limbang ke Lawas dan dijangka siap menjelang tahun 2028. – Bernama