LISBON, 16 SEPT – Kebakaran hutan telah menghentikan lalu lintas di lebuh raya di kawasan Aveiro, utara Portugal hari ini, apabila rumah-rumah terbakar dalam satu siri kebakaran yang berlaku sepanjang hujung minggu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Kira-kira 1,600 anggota bomba sedang bergelut memadamkan 20 kebakaran hari ini, dengan negara tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dari Sabtu hingga petang Selasa akibat suhu tinggi dan angin kencang.
Lebih daripada 500 anggota bomba telah berhempas pulas memadamkan kebakaran terbesar berhampiran Oliveira de Azemeis, di selatan bandar Porto, sejak kelmarin.
Di selatan Portugal, sekurang-kurangnya dua rumah telah terbakar di dua buah kampung di kawasan Albergaria-a-Velha, kata Datuk Bandar Antonio Loureiro.
“Kami menyaksikan rumah yang sedang terbakar pada masa ini,” katanya kepada agensi berita Portugis, Lusa.
Pihak polis melaporkan bahawa lalu lintas telah terhenti di tiga lebuh raya di kawasan tersebut. Pemandu diberitahu agar tidak cuba memasuki ke Aveiro.
“Itu adalah cara terbaik untuk tidak mempertaruhkan nyawa,” kata Datuk Bandar Vitor Ribero.
Seorang anggota bomba meninggal dunia secara tiba-tiba kelmarin, ketika berehat daripada tugas mengawal kebakaran, menurut Kementerian Dalam Negeri, hari ini. – AFP