Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seorang wanita berusia 56 tahun melecur di bahagian tangan, kaki, badan dan muka manakala seorang lagi wanita berusia 24 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dahi, tangan kanan dan kaki kiri dalam kejadian letupan tong gas yang bocor di Kampung Katok A, kelmarin.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerima panggilan pada pukul 4:44 petang mengenai kejadian berkenaan dan mengerahkan tiga buah jentera bersama 10 orang anggota dari Balai Bomba Beribi dengan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Jefferi bin Zainal.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran hos gas LPG 14.1kg yang terlepas daripada penyambungan tambak dapur gas yang tidak menggunakan kelam dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak $25,000. Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai jika berlaku kebocoran gas, supaya tidak menyalakan api mancis, ‘lighter’ atau membuka suis mana-mana peralatan elektrik kerana ia boleh menghasilkan percikan api dan mengakibatkan letupan. Di samping itu, pastikan pintu atau jendela dibuka bagi membolehkan gas tersebut keluar sepenuhnya dari rumah.
Orang ramai juga diingatkan supaya menggunakan komponen dapur memasak seperti hos dan kepala gas yang disahkan atau diiktiraf oleh pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM).
Selain itu, sentiasa mengambil perhatian mengenai komponen memasak seperti hos tidak retak, penyambungan tidak longgar atau terkena benda tajam dan hos gas juga hendaklah diganti setiap dua tahun.
Kepala gas perlu diganti setiap lima tahun dan memastikan kepala gas ditutup atau dicabut jika tidak digunakan atau semasa meninggalkan rumah.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai bolehlah menghubungi talian kecemasan 995 serta pastikan maklumat yang diberikan adalah betul.
