Oleh Hajib Sarhan –
Gabungan makanan laut, rempah dan pasta adalah padanan sempurna untuk hari yang sibuk, terutamanya bagi pencinta makanan spageti cabe ijo.
Cili hijau atau cabai hijau, yang merupakan bahan biasa dalam masakan Indonesia, memberi sentuhan pedas menyegarkan kepada hidangan pasta awda.
Limau nipis pula menambahkan rasa masam dan segar yang seimbang. Awda boleh kurangkan tahap kepedasan dengan mengurangkan jumlah cili, supaya tidak berpeluh semasa menikmati hidangan ini yang sarat dengan cita rasa Asia.
Selepas itu, hiaskan dengan herba tambahan atau keju parmesan parut dan pasti awda sudah dapat membayangkan rasanya!
CARA PENYEDIAAN
1. Menyediakan Pes Cili Hijau (Sambal Hijau)
Untuk menyediakan pes cili hijau, rebus cili hijau kerinting, bawang kecil, bawang putih dan tomato hijau dalam air sehingga semuanya lembut.
Tumbuk menggunakan lesung batu atau kisar kasar menggunakan pemproses makanan. Panaskan minyak zaitun dalam kuali, kemudian masukkan pes cili hijau.
Tambahkan daun limau purut dan gula. Tumis pes tersebut sehingga naik bau. Masak sehingga air dalam pes kering dan warnanya menjadi hijau yang lebih gelap. Ketepikan pes cili hijau anda.
2. Merebus Pasta
Rebus pasta mengikut arahan pada bungkusan (kerana setiap jenama berbeza). Toskan pasta dan letakkan ke dalam mangkuk besar. Simpan sedikit air rebusan pasta untuk digunakan dalam sos kemudian.
3. Menyatukan Segala Bahan
Bersihkan udang harimau dengan membuang saluran najis, belah dua, dan tumis dalam mentega atas api sederhana selama kira-kira 5 minit atau sehingga ia tidak lagi kelihatan lut sinar dan berubah warna menjadi oren.
Cincang halus daun parsli Itali. Ke dalam mangkuk besar berisi pasta, masukkan pes cili hijau, keju parmesan parut dan parsli Itali yang telah dicincang. Gaul rata dan tambah garam secukup rasa. Untuk menambahkan lagi sos, masukkan sedikit air pasta, satu sudu besar pada satu masa sehingga mendapat kepekatan yang diingini.
4. Hidang dan Nikmati!
Semasa menghidang, taburkan lagi keju parmesan dan letakkan udang harimau yang telah ditumis di atasnya sebagai hiasan utama.
Bahan-bahan (untuk 3 Orang)
• 400g spageti
• 2 sudu besar daun parsli Itali
• 100ml minyak zaitun
• 40g keju parmesan parut
• 100g cili hijau kerinting
• 5 biji tomato hijau
• 6 ulas bawang putih
• 6 biji bawang kecil (shallot)
• 2 helai daun limau purut
• 1 sudu teh gula
• 1 ekor udang harimau (dibersihkan dan dibelah dua)