MIAMI, 4 MEI – Pemenang sembilan pingat emas Olimpik, Katie Ledecky, memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam acara 800 meter (m) gaya bebas apabila mencatat masa 8 minit 04.12 saat (s) untuk memenangi saingan di kejohanan Siri Renang Pro Tyr di Fort Lauderdale, Florida.
Ledecky, 28 tahun, memperbaharui rekod terdahulu iaitu 8:04.79s yang diciptanya sendiri semasa Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 12 Ogos 2016.
Ia adalah rekod dunia pertamanya dalam kolam yang jaraknya 50 meter sejak tahun 2018.
Prestasi itu melengkapkan minggu cemerlang buat Ledecky, yang mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah bagi acara 1,500m gaya bebas pada Rabu dan mencatat masa kedua terpantas dalam kariernya bagi acara 400m gaya bebas pada hari berikutnya.
Jillian Cox menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 8:23.58s, ketinggalan 19.46s di belakang Ledecky. Claire Weinstein pula menduduki tempat ketiga dengan masa 8:26.06s.
Ledecky menyatakan bahawa dia berasa amat ‘bersemangat’ selepas mencipta rekod dalam acara 1,500m gaya bebas, yang menjadi kejohanan elit pertamanya sejak Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Di Paris, dia memenangi acara 1,500m gaya bebas dan turut menjuarai acara 800m buat kali keempat berturut-turut, sekali gus menyamai rekod jumlah pingat emas terbanyak yang dimenangi oleh atlet wanita dalam mana-mana sukan.
Ledecky kini memegang 10 catatan masa terpantas dalam sejarah acara 800m gaya bebas, manakala Summer McIntosh dari Kanada adalah perenang kedua terpantas dengan masa terbaik peribadi 8:09.86s.
Sejak Ledecky mula mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan kemenangan dalam acara 800m di Sukan Olimpik London 2012, dia hanya pernah tewas sekali dalam acara itu iaitu kepada McIntosh dalam satu kejohanan di Florida pada Februari tahun lalu.
Namun, minggu ini membuktikan Ledecky masih menjadi pencabar utama menjelang Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Singapura dari 27 Julai hingga 3 Ogos.
Kejohanan pemilihan peringkat Amerika Syarikat akan diadakan dari 3 hingga 7 Jun di Indianapolis. – AFP