Bekas anggota kumpulan Kpop T-ara iaitu Areum dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan penderaan kanak-kanak dan memfitnah bekas suaminya.
Mahkamah Jenayah Cawangan Ansan membuat keputusan itu pada Jumaat lalu selepas Areum atau Lee Areum, 31, mengaku bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya.
Selain penjara lapan bulan, Areum turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan perlu menyertai kuliah berkaitan pencegahan penderaan kanak-kanak selama 40 jam.
Sebelum ini, bekas suami Areum iaitu Kim Young Gul mendakwa penyanyi itu bertindak mencederakan dia serta anak-anak mereka.
Tidak berdiam diri, Areum juga turut mendakwa menjadi mangsa keganasan suami sendiri malah pernah memaparkan gambar bukti dia dibelasah Young Gul.
Malah pada Mac tahun lalu, Aerum pernah dimasukkan ke hospital atas cubaan membunuh diri kerana tertekan dengan masalah rumah tangga dihadapinya.
Bagaimanapun selepas hampir setahun siasatan dan perbicaraan di mahkamah, semua dakwaan Areum didapati palsu apabila dia gagal menampilkan bukti.
Peminat yang mengikuti perkembangan kes itu tidak berpuas hati dengan hukuman dikenakan kerana menganggap ia tidak setimpal dengan perbuatannya.
Untuk rekod, Areum dan Young Gul berkahwin pada Oktober 2019, namun telah berpisah pada Disember 2023. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata. – Agensi