Jika sebelum ini Lee Do Hyun hanya diberi peranan sampingan namun namanya meningkat naik sejak membintangi drama siri popular, The Glory.
Do Hyun berkata, dia pada awalnya bimbang selepas menerima tawaran sebagai salah seorang pelakon utama siri terbitan Netflix namun galakan daripada penulis skrip, Eun Sook membuatkan dia yakin membawa watak sebagai Joo Yeo Jung.
Aktor berusia 27 tahun itu juga memberitahu dia masih tidak percaya tentang populariti yang sedang diraihnya tetapi sejak muncul dalam The Glory dia mula menerima pelbagai tawaran berlakon.
“Saya sendiri pun tak pasti sama ada saya popular atau tak tetapi saya kini banyak dapat tawaran berlakon,” katanya.
Untuk rekod, Do Hyun memegang watak sebagai seorang doktor yang membantu Moon Dong Eun lakonan Song Hye Kyo yang merancang untuk membalas dendam.
Siri itu disiarkan sejak 30 Disember 2022 dan bahagian keduanya ditayangkan pada awal Mac lalu. – Agensi