Demi anak perempuan tunggalnya, pelakon Lee Dong Gun sedang mempertimbangkan membeli sebuah rumah berharga KRW690 juta atau RM2.2 juta.
Memetik laporan mStar, keputusan itu bagi membolehkan anak perempuannya iaitu Roa, 9, mempunyai ruang dan bilik sendiri setiap kali datang bermalam di rumahnya.
Jelas Dong Gun, 45, rumahnya sekarang tidak sesuai untuk kanak-kanak itu apatah lagi ia sebuah studio dan sesuai untuk seorang.
“Sebelum ini saya sudah berjanji dengan anak yang dia boleh datang dan bermalam di rumah saya.
“Jadi saya mahu mencipta ruang khusus dan sesuai untuknya agar dia berasa selesa,” katanya.
Dong Gun berkongsi perkara itu ketika muncul menerusi program My Little Old Boy pada Ahad.
Aktor itu memberitahu rumah tiga tingkat yang bakal dibelinya itu terletak di Gwangju di wilayah Gyeonggi. – Agensi
